Kerajaan Johor wujudkan majlis ekonomi negeri
Kerajaan negeri yang diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mewujudkan Majlis Ekonomi Negeri Johor bagi memastikan kesaksamaan hasil dapat dinikmati rakyat negeri ini.
Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Johor Datuk Osman Sapian berkata majlis berkenaan dalam masa sama bertujuan menjamin pembangunan ekonomi negeri bergerak lebih pesat dan lestari.
"Kita sedar akan kedudukan kaum Melayu yang masih ketinggalan terutamanya dalam bidang ekonomi. Justeru, kita di Johor akan memberi penekanan yang lebih terhadap kesaksamaan hasil dan bukan lagi kesamaan peluang.
"Menyedari perkara tersebut, kerajaan negeri Pakatan Harapan yang diterajui Bersatu akan mewujudkan Majlis Ekonomi Negeri Johor.
"Ini bagi memastikan kesaksamaan hasil itu dinikmati rakyat Johor dan dalam masa yang sama menjamin pembangunan ekonomi negeri untuk bergerak lebih pesat dan lestari," katanya dalam kenyataan, di Johor Bahru hari ini.
Beliau mengulas ucapan dasar Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Kedua Bersatu, di Putrajaya, malam tadi.
Menteri Besar Johor itu berkata pesanan Dr Mahathir memberi isyarat yang cukup jelas bahawa Bersatu merupakan wadah baharu bagi memperjuangkan agenda Bumiputera tanpa mengabaikan hak kaum lain di negara ini.
Beliau berkata apa yang berlaku terhadap kepimpinan kerajaan terdahulu sehingga ditumbangkan rakyat menjadi pengajaran dan peringatan untuk Bersatu melakukan dengan lebih baik dan benar-benar membela nasib Melayu dan bukannya sekadar bermain berpolitik.
- Bernama

