Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Cadangan agar Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga penggal seterusnya perlu mempertimbangkan pandangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain, kata Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Dr Rais Yatim.

Katanya, biarpun cadangan tersebut dilihat sebagai satu pandangan yang baik, namun ia juga harus mengambil kira perasaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan isterinya, yang juga timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Penerimaan terhadap Tun adalah sangat munasabah. Dan personaliti beliau dapat menaungi banyak hal dan membaiki prestasi kenegaraan.

“Namun apa yang disuarakan mungkin tidak dapat diterima oleh parti komponen PH.

“Saya kira pandangan ini pandangan baik, namun perasaan Anwar Ibrahim dan isterinya dan juga kumpulan beliau perlu ditinjau dari sudut lebih munasabah dan praktikal,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Terdahulu, seorang perwakilan Bersatu hari ini mencadangkan agar jawatan perdana menteri yang disandang Dr Mahathir dikekalkan sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Sebelum ini Anwar dinamakan Mahathir sebagai individu yang akan menggantikannnya sebagai perdana menteri.

Cadangan agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga penggal berikutnya juga pernah dibangkitkan sebelum ini oleh Bersatu Setiawangsa.

Bagaimanapun, pada 3 Nov lalu, Mahathir berjanji akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas dua tahun.

Lihat Komen
ADS