Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan bertemu dengan Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM) esok bagi membincangkan isu bekalan minyak, menjelang kembalinya sistem penetapan harga secara mingguan bermula 1 Januari ini.

“Saya mungkin akan bincang dengan mereka esok dan kita akan cari jalan terbaik untuk selesaikan masalah itu,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Putrajaya hari ini.

Berhubung tindakan stesen-stesen minyak yang sudah mula menutup operasi sejak semalam, beliau berkata akan meneliti perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan berlakunya masalah bekalan jika pengusaha stesen minyak enggan menambah bekalan mereka sebelum 1 Januari 2019.

Ia susulan keputusan kerajaan untuk kembali melaksanakan sistem apungan harga minyak mingguan yang menyaksikan kemungkinan harga runcit petrol akan menurun.

Ia kerana harga minyak mentah global menurun di bawah paras AS$55 setong.

Menurut Bernama 29 Disember lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada pengusaha stesen minyak agar tidak menutup perniagaan atau memberhentikan penjualan bahan api.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Jamil Salleh kegagalan berbuat demikian merupakan kesalahan menurut Akta Kawalan Bekalan 1974 dan boleh didenda sehingga RM1 juta.

Lihat Komen
ADS