Tahun 2018 penuh duka buat Indonesia
GLOBAL | Tahun 2018 melabuhkan tirainya, boleh digambarkan sebagai tahun yang penuh duka buat Indonesia.
Ketua Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho menyifatkan 2018 adalah tahun bencana buat Indonesia, yang memberi kesan langsung kepada lebih 10.2 juta warga Indonesia.
"Direkodkan sebanyak 3,349 orang terkorban akibat bencana, 1,432 orang masih hilang dan lebih 21,000 orang cedera manakala lebih 300,000 rumah musnah akibat bencana dengan kerugian harta benda dianggarkan Rp100 trilion," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut data Badan Meteorologi, Klimatologi, Geofisika (BMKG), sebanyak 11,585 gempa bumi dengan pelbagai magnitud dicatatkan berlaku sepanjang 2018, berbanding hanya 6,929 kejadian gempa bumi untuk tahun 2017.
Kejadian gempa bumi bukanlah sesuatu yang ‘luar biasa’ di Indonesia yang berpopulasi lebih 260 juta penduduk itu dengan hampir setiap hari berlaku gegaran gempa di negara yang terletak di Lingkaran Api Pasifik itu.
Letusan gunung berapi
BMKG mencatatkan berlaku peningkatan akitiviti gempa untuk tahun 2018, dengan magnitud kuat yang melebihi 5 pada skala Richter dicatatkan berlaku melebihi 200 kali.
Gempa bumi berskala kuat yang menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok (bermagnitud 6.4 pada skala Richter pada 29 Julai), Palu dan Donggala di Sulawesi Tengah (7.7 pada skala Richter pada 28 September) yang disusuli tsunami itu, mengorbankan beribu nyawa.

Selain gempa bumi dan tsunami, letusan gunung berapi turut memberi kesan kepada penduduk akibat letusan serta kesan asap dan debu gunung berapi itu.
Menurut data Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG), sebanyak 68 gunung berapi masih aktif di negara ini.
Letusan gunung Agung di Bali pada Julai 2018, turut menyebabkan beribu pelancong terkandas di pulau peranginan terkemuka itu apabila lapangan terbang di Bali ditutup kerana asap dan debu gunung berapi mengganggu operasi penerbangan.
Tsunami Selat Sunda
Kejadian bencana akibat letusan gunung Anak Krakatau pada 23 Disember baru-baru ini turut mencetuskan tsunami di Selat Sunda, yang mengorbankan lebih 400 orang dan memusnah beratus kediaman penduduk di empat kabupaten (daerah).
Kejadian puting beliung di wilayah Bogor pada awal Disember, kebakaran hutan di wilayah Riau, Pulau Sumatera dan di Kalimantan pada Mei, tragedi kapal karam di perairan Danau Toba yang dipercayai membawa lebih 100 penumpang pada Julai serta tragedi pesawat Lion Air terhempas pada 29 Okt, turut menjadi kisah duka Indonesia pada 2018.
Presiden Indonesia Joko Widodo dipetik agensi berita Antara, melaporkan Joko yang hanya menyambut kedatangan tahun 2019 di kediamannya di Istana Presiden Bogor, berharap 2019 membawa sinar yang lebih baik buat Indonesia.
"Ya seperti hari-hari biasa, seperti hari Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu, tidak ada (perayaan atau sambutan rasmi baginya untuk menyambut kedatangan 2019). Yang paling penting 2019...optimis, optimis, optimis," katanya.
- Bernama

