Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warisan Tawau, Kalabakan nafi bantah sambutan Krismas, ambang tahun baru
Diterbitkan:  Jan 2, 2019 6:44 AM
Dikemaskini: Jan 2, 2019 1:02 AM

Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Tawau dan Kalabakan membuat laporan polis semalam bagi menafikan kononnya kedua-dua bahagian parti itu terlibat dalam mengeluarkan memorandum bantahan penganjuran sambutan Hari Krismas dan Fiesta Ambang Tahun Baharu 2019 anjuran Parlimen Tawau.

Memorandum bantahan itu disiarkan di sebuah akhbar tempatan semalam oleh kumpulan yang mendakwa mewakili masyarakat Muslim di situ.

Ketua Warisan Bahagian Tawau Frank Salazar @ Franco dan Ketua Warisan Bahagian Kalabakan Ismail Senang dalam kenyataan bersama berkata bahagian mereka tiada kena-mengena dengan pengeluaran memorandum tersebut.

“Kami selaku Ketua Warisan Bahagian Tawau dan Kalabakan, tidak terlibat langsung dengan memorandum bantahan tersebut dan kesal dikaitkan dengan pengeluaran memorandum itu," kata Frank dan Ismail yang membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.

Sambutan Hari Krismas itu dianjurkan pada Jumaat lepas dan Ambang Tahun Baharu 2019, semalam.

Dalam memorandum itu, beberapa pertubuhan lain turut disenaraikan dalam membuat kenyataan bersama itu termasuk Umno Tawau dan Kalabakan serta Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Tawau.

-- Bernama

Lihat Komen
ADS