Paling Popular
Terkini

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Shamsul Amar Ramli berkata pihaknya menahan lelaki berumur 55 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh seorang mak nyah di Klang.

Jelas Shamsul, polis sudah menyita sebuah kenderaan Toyota Harrier dan akan menahan reman lelaki itu sehingga Selasa depan.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek mendakwa terlibat dalam pertengkaran dengan mangsa di dalam kereta kerana menuduh transgender itu mencuri telefon bimbitnya.

"Transgender itu tidak mengaku dan suspek mendakwa dia melompat keluar dari kereta yang sedang dipandunya," katanya.

Bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala selepas jatuh dari kenderaan yang bergerak.

Berdasarkan laporan itu, tiada tanda pada tubuh mangsa yang menunjukkan pergelutan.

Shamsul berkata pemeriksaan menunjukkan mangsa mempunyai tiga kes berkaitan dadah.

Polis juga menolak kebencian terhadap transgender sebagai motif jenayah.

Dalam perkembangan sama, aktivis Nisha Ayub menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang jenayah kebencian transgender.

"Kita perlukan undang-undang yang melindungi orang, undang-undang yang menangani jenayah kebencian terhadap identiti gender atau seksualiti.

"Komuniti transgender merupakan sasaran mudah kerana kami mudah dicam. Saya meminta kerajaan untuk melihat isu komuniti mak nyah bukan dari segi identiti tapi sebagai manusia yang layak dilindungi dan diberikan peluang yang sama seperti orang lain," katanya.

Dalam kes berasingan, pada 24 Dis lalu, empat individu didakwa berhubung kes kematian transgender yang didakwa akibat dibelasah di hadapan hotel di Bandar Bukit Tinggi Klang.

Lihat Komen
ADS