Masalah minyak di Kapit akan diatasi - Chong
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang berusaha mengatasi isu bekalan bahan bakar yang dihadapi penduduk di Kapit, kata Timbalan Menterinya Chong Chieng Jen.
Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata untuk penyelesaian jangka pendek, KPDNHEP sudah menghubungi syarikat minyak agar mengambil tindakan segera menghantar bekalan petrol dan diesel ke daerah itu yang dijangka dilakukan hari ini.
Katanya untuk penyelesaian jangka panjang pula, kementerian sudah berbincang dengan beberapa syarikat minyak untuk membuka beberapa stesen minyak mini atau menyediakan Sistem Kontena Mudah Alih (PCS) di kawasan pinggir bandar Kapit bagi menampung keperluan penduduk.
“Penggubalan dasar baharu ini berada pada peringkat akhir dan saya yakin sebelum sambutan Gawai tahun ini penduduk Kapit akan menerima tambahan dua PCS atau setidak-tidaknya dua stesen petrol mini,” katanya.
Beliau berkata pada masa ini hanya terdapat dua stesen minyak di daerah itu.
Chong yang juga pengerusi Pakatan Harapan Sarawak berkata masalah bekalan petrol dan diesel di Kapit itu berpunca pada era kerajaan Barisan Nasional apabila banyak permohonan untuk mengusahakan stesen minyak di kawasan tersebut ditolak atau “disimpan” oleh pentadbiran terdahulu.
“Akibatnya, penduduk Kapit sering berdepan masalah bekalan bahan api selain harga lebih mahal,” katanya.
Sementara itu, Chong berkata KPDNHEP sedang menyemak semula beberapa dasar untuk menambah baik sistem penyampaian khususnya membabitkan barang keperluan, subsidi dan barang bersubsidi kepada rakyat di Sarawak, terutamanya kawasan pedalaman.
-- Bernama

