Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kabinet belum putuskan isu harga minyak - sumber

Kabinet belum mendapat kata putus mengenai harga petrol dalam mesyuarat mingguan yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam.

"Tiada keputusan dibuat semalam," kata sumber yang enggan namanya disiarkan kepada Malaysiakini.

Portal itu juga sedang cuba menghubungi Menteri Kewangan Lim Guan Eng bagi mendapatkan maklum balas mengenai perkara tersebut.

Pada 23 Dis lepas, Lim mengumumkan bahawa mulai 1 Jan, 2019, harga bahan api termasuk RON 95, akan mula diapungkan secara mingguan.

Berikutan itu, Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menentang keputusan kerajaan mengapungkan dan menetapkan harga produk petroleum secara mingguan.

PDAM juga meminta kerajaan menaikkan komisen pengusaha stesen minyak bagi mengurangkan kerugian yang ditanggung.

Sebelum mempengerusikan mesyuarat kabinet semalam, Mahathir bertemu wakil dan pimpinan PDAM selama 45 minit bagi mendengar kebimbangan mereka.

Pada masa ini, RON95 berharga RM2.20 seliter, RON97 pada RM2.50 seliter dan RM2.19 seliter bagi diesel.

Kerajaan sedang mempertimbangkan sistem penetapan harga syiling bagi bahan api itu, meskipun harga pasaran terus meningkat.

Lihat Komen
ADS