Amanah: Berhenti bicara isu peralihan jawatan PM secara terbuka
Parti Amanah Negara (Amanah) mengingatkan agar isu berhubung tempoh peralihan jawatan perdana menteri dari Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak terus dibicarakan secara terbuka.
Ini kerana, kata parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu, isu berkenaan boleh menjejaskan muafakat serta fokus kepimpinan untuk membina semula negara ini.
"Polemik ini bukan sahaja akan membuka ruang kepada seteru politik untuk menjadi batu api bahkan turut menjejaskan motivasi setiap anggota parti untuk mengukuhkan gerak kerja di setiap peringkat.
"Apa yang dibimbangi, masing-masing anggota parti komponen PH akan bertegang leher antara satu sama lain dalam isu ini yang mana akhirnya kita tidak ubah seperti menang jadi arang, kalah jadi abu," kata kenyataan media Amanah hari ini.
Dalam kenyataan itu juga, selain menyatakan sokongan kepada gesaan Anwar agar Mahathir diberikan ruang memimpin, Amanah juga menyarankan agar pemimpin PH di setiap peringkat tidak menimbulkan semula isu berkenaan.
"Sekiranya wujud keperluan untuk menimbulkan persoalan yang kritikal, PH mempunyai platform atau saluran dalaman yang menerima serta menguruskan pandangan tersebut.
"Yakinilah kematangan dan kebijaksanaan para pemimpin tertinggi PH dalam menguruskan perbezaan pendapat dan polemik sebelum ini yang mana telah membolehkan pakatan ini menguasai Putrajaya," katanya.
Meskipun Mahathir beberapa kali memberikan jaminan akan menyerahkan jawatannya kepada Anwar, beberapa pihak termasuk dalam kalangan anggota PH sendiri terus membicarakan isu berkenaan.
Sementara Anwar pula beberapa kali menyeru agar penyokong dan pemimpin PH memberi ruang kepada Mahathir menerajui kerajaan.
Awal hari ini, kumpulan penyokong gerakan reformasi Otai Reformis mengadakan sidang media bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan untuk mengekalkan Mahathir sebagai perdana menteri sehingga. pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Cadangan itu dibangkitkan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hujung minggu lalu oleh perwakilan Bersatu.
Dalam wawancara bersama Sin Chew Daily baru-baru ini, Mahathir sekali lagi mengulangi bahawa beliau akan menyerahkan jawatan kepada Anwar dalam tempoh dua tahun "atau mungkin lebih sedikit".
Mahathir juga berkata bahawa beliau usaha membetulkan kerosakan yang ditinggalkan pentadbiran sebelumnya yang menurutnya merupakan tujuannya menjadi perdana menteir, kini pada tahap 30 atau 40 peratus.

