Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan Azmin bawa ahli PKR keluar parti cuma spekulasi - Zuraida

Dakwaan kononnya Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali kini sedang mengetuai gerakan untuk anggota keluar parti hanyalah satu khabar angin, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin

“Khabar angin adalah khabar angin,” kata Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika ditanya wartawan berhubung dakwaan tersebut.

Mengulas desas-desus pertemuan anggota PKR yang didakwa membincangkan mengenai calon Perdana Menteri, Zuraida menyatakan beliau tidak pasti berhubung perbincangan itu dan meminta polemik isu jawatan perdana menteri dihentikan.

"Mari kita maju ke hadapan, buat kerja masing-masing dan lihat apa yang akan berlaku dua tahun akan datang," katanya ketika ditemui selepas hadir ke Program Promosi Tempat Makan sebagai Tempat Dilarang Merokok dan Majlis Pelancaran Program Restart (Restoran Tanpa Asap Rokok dan Tembakau) di Putrajaya semalam.

Berhubung laporan sebuah blog kononnya Pendaftar Pertubuhan (ROS) bakal menggantung PKR kerana berlaku penipuan dalam pemilihan parti itu baru-baru ini, Zuraida berkata PKR belum menerima sebarang notis daripada ROS.

“Saya tidak baca lagi artikel berhubung perkara itu tetapi apa-apa pun sebarang aduan harus dibuat mengikut prosedur dan saluran yang betul termasuk dari segi proses," katanya, sambil menambah isu berkaitan pergantungan jika ada akan dijawab oleh setiausaha agung PKR.

- Bernama

Lihat Komen
ADS