Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata setahu beliau Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sudah kembali bertugas.

“Setahu saya (sudah),” katanya ketika ditanya perkara itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Albukhary, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Mahathir juga berkata beliau tidak menerima sebarang pemakluman rasmi bahawa Agong mahu meletakkan jawatan.

“Sama macam kamu, saya pun ada dengar khabar angin.

“Saya tidak terima sebarang surat atau makluman rasmi berkaitan sesuatu, jadi saya tidak akan ulas perkara ini,” katanya.

Semalam Kelantan turut berkata tidak menerima maklumat berkaitan khabar angin berkaitan status Agong yang tular itu.

[Baca berita asal]

Sementara itu, mengulas mengenai kritikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap kerajaan PH, Dr Mahathir berkata putera Johor itu tidak memahami konsep kerajaan persekutuan.

"Dia tidak faham tentang federation (persekutuan), masa itu dia belum lahir, tapi saya lahir masa itu. Kita buat persekutuan bermakna persekutuan kuasai seluruh negara," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan persekutuan berhak mengeluarkan kenyataan berhubung isu di negeri-negeri.

"Kita ada senarai apa yang dikuasai oleh persekutuan, apa yang dikuasai negeri.

"Tetapi tidak ada disebut bahawa persekutuan tak boleh keluar kenyataan...kalau negeri keluar kenyataan, kita tidak boleh komen," katanya.

Terbaru, Tunku Ismail mengingatkan kerajaan PH untuk tidak mempolitikkan isu dan fokus kepada pentadbiran negara.