RM393,802 dikumpul untuk Tabung Wira Merah
Tabung Wira Merah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk enam anggota bomba yang terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Lombong Taman Putra Perdana Puchong, Selangor pada 3 Oktober lepas berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM393,802.
Tabung Wira Merah JBPM itu dilancarkan pada 9 Oktober hingga 31 Disember 2018.
“JBPM mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai yang banyak menghulurkan sumbangan,” kata JBPM dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 3 Oktober lepas, enam anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) lemas ketika operasi mencari seorang remaja lemas di lombong Taman Putra Perdana Puchong.
Mereka ialah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, Yahya Ali, 24, Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
--Bernama

