JAKOA cadang guna khidmat unit udara JBPM atasi pelajar kandas
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bercadang menggunakan perkhidmatan penerbangan ihsan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membawa 151 pelajar Orang Asli yang gagal meneruskan persekolahan mereka Selasa lepas jika penyelesaian jalan darat gagal.
Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, ini disebabkan jalan yang menghubungkan mereka di empat pos termasuk Pos Bihai, Balar, Simpor dan Pos Hau mengalami kerosakan yang teruk.
Beliau berkata, pelajar terbabit adalah sebahagian daripada 692 pelajar Orang Asli yang berdaftar untuk belajar di lapan sekolah menengah di sekitar bandar ini tahun ini.
Seramai 541 Orang Asli sudah berjaya dibawa keluar secara berperingkat minggu lepas.
Hashim Alang berkata, usaha membawa pelajar yang terkandas itu melalui jalan balak masih diteruskan walaupun berlaku kerosakan teruk kerana tidak mahu pelajar terbabit tercicir dan ketinggalan pelajaran.
"Kami sudah melantik beberapa kontraktor untuk membawa keluar pelajar terkandas di ketiga-tiga pos itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Hashim Alang juga berkata, jika usaha menggunakan jalan balak masih gagal, pihaknya akan memohon bantuan penerbangan ihsan JBPM seperti yang pernah dilakukan selepas banjir besar 2014.
Beliau bagaimanapun lega kerana semua 1,862 murid Orang Asli di 11 sekolah rendah sudah bersekolah berikutan sekolah berkenaan terletak berdekatan kampung masing-masing.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Eder Baharom ketika ditemui di Pos Tohoi berkata seramai 215 murid Orang Asli bersekolah di situ sejak penggal pertama dibuka Selasa lepas.
Beliau berkata, jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelum ini memandangkan perasaan trauma selepas tragedi tujuh murid Orang Asli di sekolah itu hilang dan dua ditemui selamat dalam kejadian pada 2015, semakin dilupakan.
"Ibu bapa sudah mula yakin dengan keselamatan anak mereka dan kembali memberi kenyakinan kepada guru sekolah itu mendidik anak mereka dari tahun satu hingga enam," katanya.
-- Bernama

