Pemimpin dan kebanyakan netizen di media sosial malam ini menzahirkan rasa terkejut dan sedih dengan berita peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

​​​​​​​Berita peletakan jawatan itu yang diketahui sejak lewat petang mendapat pelbagai reaksi dan menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat Seri Paduka sepanjang memegang jawatan tertinggi negara. ​​​​​​​​​​​​​

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam catatan ringkas di Facebook merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Muhammad V atas khidmat baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV.

"Kami rakyat Malaysia berdoa agar Tuanku sentiasa dikurniakan kesihatan dan dilindungi Allah SWT. Dirgahayu Tuanku. Daulat Tuanku!," katanya.​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​

Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar turut menjunjung kasih kepada Sultan Muhammad V kerana memberi pengampunan penuh kepada ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semoga Malaysia tidak meneruskan lagi penahanan mana-mana tahanan politik,” katanya dalam Twitter.

Berikutan peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong itu, netizen ada yang tertanya-tanya siapakah pengganti kepada Sultan Muhammad V.

Antara sebahagian komen netizen ialah Syamil Hmd yang berkata "Sedih tuanku. Tapi apa-apa pun raja bernaung di atas takhta melindungi rakyat. Allahuakhbar, Daulat Tuanku."​​​​​​​

Mohd Irwan Shaffii pula menulis: “Pertama kali dalam sejarah. Agong letak jawatan. Sebelum ini tak pernah berlaku.”​​​​​​​

Seorang lagi netizen Shahril Aziz melontar pandangan dengan mengungkap kembali kata-kata baginda yang tular: “Ingat dulu jenaka Tuanku masa pembukaan sidang parlimen... Ayat tengah hot masa tu “duduk jangan lari”."

- Bernama