Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Anak Musa Aman MP terakhir angkat sumpah hari ini

Anggota Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa yang juga anak kepada bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat hari ini.

Hafez mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof di kamar Khas parlimen.

Sebelum ini, beliau merupakan satu-satunya anggota parlimen yang masih belum mengangkat sumpah bagi jawatan itu selepas pilihan raya umum ke-14.

Beliau telah diberikan surat peringatan untuk tampil mengangkat sumpah segera atau berdepan hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen jika gagal berbuat demikian selepas tempoh ditetapkan pada 15 Jan.

Terdahulu Hafez dilaporkan berada di United Kingdom sejurus selepas pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.

Beliau adalah salah seorang daripada lima anggota Parlimen dari negeri itu yang mengumumkan keluar Umno bulan lalu.

Selain Hafez, anggota parlimen lain yang menjadi calon bebas ialah Ronald Kiandee (Beluran), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Zakaria Edris (Libaran) dan Rahim Bakri (Kudat). 

Bagaimanapun, Hafez tidak hadir pada sidang akhbar ketika pengumuman keluar parti oleh wakil rakyat Sabah itu.

Sementara itu seorang pegawai memberitahu pemberita Dewan Rakyat tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai status parti Hafez.

"Dia (dikatakan) sebahagian daripada lima anggota Parlimen Sabah yang keluar (Umno). Kami tidak menerima apa-apa surat," kata pegawai itu.

Wartawan yang menunggu di luar Dewan Khas diminta beredar apabila diberitahu Hafez enggan mengadakan sidang akhbar selepas majlis mengangkat sumpah.

Difahamkan Hafez meninggalkan bangunan Parlimen melalui pintu belakang.

Lihat Komen
ADS