Paling Popular
Terkini

Umno masih menganggap Anggota Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa sebagai ahli parti itu dan bukan anggota parlimen bebas, kata Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin.

Ini kerana, katanya Yamani tidak pernah mengumumkan hasratnya untuk keluar parti secara peribadi.

"Dia tidak pernah kata nak keluar dari Umno, jadi dia masih ahli Umno.

"Begitu juga dengan bapanya (bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman)," katanya.

Yamani, dikatakan antara 13 anggota parlimen yang bertindak keluar dari Umno bulan lalu dan mengangkat sumpah di parlimen hari ini selepas lapan bulan berlangsung pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei tahun lalu.

Status keanggotan partinya masih tidak diketahui kerana Yamani enggan bercakap dengan media selepas mengangkat sumpah di Dewan Rakyat hari ini.

Seorang pegawai Parlimen berkata Dewan Rakyat belum menerima sebarang surat mengenai status keanggotaan Yamani.

Pegawai itu berkata status lima anggota Parlimen Sabah yang mengumumkan untuk keluar parti bulan lalu juga masih belum jelas kerana belum menulis mengenai perkara itu secara rasmi kepada Dewan Rakyat.

Pada 12 Disember 2018, sekumpulan wakil rakyat dan pemimpin Umno Sabah mengumumkan keluar parti dan memberi sokongan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun Yamani sendiri tidak menghadiri sidang akhbar berkenaan.

Bung Moktar berkata Umno masih tidak dapat menghubungi Yamani.

ADS