Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
S'wak bayar hutang persekutuan tepat ikut masa - pejabat KM
Diterbitkan:  Jan 7, 2019 9:30 PM
Dikemaskini: Jan 8, 2019 3:54 AM

Kerajaan Sarawak hari ini menjelaskan setiap tahun peruntukan mencukupi disediakan dalam belanjawan tahunannya bagi membayar balik pinjaman kerajaan persekutuan, yang berjumlah RM2.38 bilion setakat 31 Disember, 2018.

Mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam berhubung tunggakan pinjaman kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri berkata pinjaman kerajaan persekutuan dibayar tepat pada masanya berdasarkan jadual bayaran balik seperti ditetapkan dalam perjanjian antara kerajaan negeri dan persekutuan.

"Malah, Sarawak ialah antara negeri yang tidak mempunyai hutang belum bayar/tunggakan bagi bayaran balik pinjaman… ini telah dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya dan dibentangkan pada Majlis Kewangan Negara,” kata kerajaan negeri dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri di Kuching, hari ini.

Katanya bagi kes Sarawak, pinjaman persekutuan diperoleh untuk membiayai pelaksanaan pelbagai projek di bawah Senarai Serentak yang termasuk bekalan air, pembetungan, kawasan perindustrian, perumahan dan pertanian terutamanya perladangan kelapa sawit yang melibatkan pekebun kecil.

"Ia merupakan prosedur biasa yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi negeri-negeri di Malaysia untuk mendapatkan pembiayaan persekutuan sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman.

"Bentuk pembiayaan, sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman, akan berdasarkan pada jenis projek, iaitu, sama ada projek akan menjana perolehan di masa depan (nilai komersial),” menurut kenyataan itu.

- Bernama

ADS