Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tender kontrak: Tak kisah parti apa, yang penting layak - timb menteri

Sesiapa yang ingin memohon kontrak kerajaan perlu mendapatkannya secara tender terbuka, maklum Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

“Kita sokong tender terbuka dan kita sokong golongan yang layak mendapatkan kontrak yang betul-betul cekap dan hanya yang boleh buat kerja akan dapatkan tender tersebut, tak kira apa parti sekali pun," katanya kepada pemberita malam ini.

Yeoh yang juga anggota parlimen DAP berkata kerajaan juga perlu menyemak semula kaedah pemberian kontrak sedia ada.

“Kita kena lihat semula cara pemberian kontrak kepada kontraktor sedia ada, ada banyak kita hadapi sekarang adalah inflated prices (harga melambung tinggi) yang kita tidak sokong.

“Kita nak kontraktor tahu ini adalah kerajaan baru, we want value for money,” tegasnya.

Anggota parlimen DAP itu diminta mengulas cadangan Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman supaya ketua-ketua bahagian dan cawangan parti itu diberikan projek kerajaan.

“Saya tak sokong langsung (cadangan tersebut), saya percaya banyak MP PH juga tidak sokong cadangan ini.

“Kita dipilih oleh rakyat Malaysia untuk satu pentadbiran yang bersih dan baru, malah cara pentadbiran kita mesti berbeza daripada yang lepas (BN),” katanya kepada media selepas hadir pada majlis lawatan kerja bertemu NGO Gelandangan di Anjung Singgah Kuala Lumpur.

Pada perhimpunan agung tahunan Bersatu menjelang tahun baru, Abdul Rashid mengemukakan cadangan supaya kontrak kerajaan diberikan kepada ketua bahagian dan cawangan bagi membolehkan mereka menambah dana untuk menggerakkan parti.

Abdul Rashid berkata, ketua bahagian dan cawangan di seluruh negara sering mengadu kepadanya yang tidak mempunyai dana dan sukar melaksanakan program di kawasan masing-masing.

Ekoran cadangan itu, Abdul Rashid dikecam pelbagai pihak. Namun, beliau menyifatkan tindakannya itu sebagai berasas, dibuat di tempat yang betul dan pada masa yang tepat.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang ditemui pada majlis sama berkata pihaknya harus berpegang pada janji untuk pentadbiran yang lebih baik dari sebelum ini.

“Pendirian pemimpin PKR juga sama, kami ingin lihat (pembaharuan), ramai warga Kuala Lumpur harapkan pembaharuan dan penambahbaikan kepada mutu perkhidmatan dan projek yang diusahakan terutamanya dari segi kualiti jalan dan projek.

“Kami harap kita dapat laksana janji PH untuk laksana proses tender terbuka. Itu janji yang perlu kami tepati,” tegas Fahmi yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai.

Hadir sama pada lawatan tersebut adalah, Anggota Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, Anggota Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Anggota Parlimen Batu, P Prabakaran.

ADS