Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat projek-projek Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berimpak tinggi membabitkan rundingan terus bagi sistem utama SSM yang disyaki berunsur rasuah dan salah guna kuasa.

Gesaan itu dilontarkan Pertubuhan Kebajikan Bersatu Selangor (PKBS) yang menyerahkan memorandum serta fakta-fakta berhubung perkara itu supaya disiasat pihak berkuasa.

Pengerusi PKBS Muhammad Nadzri Abdullah berkata siasatan terhadap projek utama SSM yang dimenangi oleh sebuah syarikat sangat penting kerana ia merangkumi semua hasil kutipan SSM.

"Seperti penubuhan syarikat, pembayaran kompaun, produk-produk SSM seperti dokumen-dokumen info syarikat dan perniagaan, skim faedah, pemfailan penyata tahunan, sokongan pusat panggilan dan analisis data," katanya di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Katanya penganugerahan projek itu membolehkan syarikat terbabit meraih keuntungan kira-kira RM400 juta bagi tempoh 10 tahun.

Projek berkenaan katanya pernah dibuka bagi tujuan tender terbuka, tetapi malangnya ia telah dibatalkan dan diberikan secara terus kepada syarikat berkenaan pada November 2017.

Ia merujuk projek pembangunan Sistem Laporan Perniagaan Malaysia (MBRS) bernilai RM16.5 juta yang dibangkitkan Anggota Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat 12 November lalu.

Ketika itu, Bung mendakwa projek tersebut yang pada awalnya dibuat secara tender terbuka dianugerahkan kepada syarikat yang berada di tangga keenam.

Bung juga mendakwa syarikat itu mendapat kontrak selama sepuluh tahun secara mandatori walaupun sistem itu sepatutnya dikendalikan oleh SSM sendiri selepas dibangunkan.

Sementara itu, Nazri berkata perjanjian kontrak itu telah mengikat SSM secara berat sebelah memandangkan ia tidak boleh membuat penilaian terhadap projek itu pada akhir tempoh lima tahun.

"Kami mendesak pihak bertanggungjawab menyiasat lebih mendalam mengenai projek-projek lain yang diberikan SSM kepada syarikat.

"Kami juga mendesak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) agar tidak sambil lewa terhadap kenyataan yang dibuat Bung Mokhtar di Parlimen," katanya lagi.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan maklum balas syarikat yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan itu.