DAP Kelantan mahu timba ilmu di PRK Cameron Highlands
Bukan sekadar mahu membantu calon Pakatan Harapan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, DAP Kelantan turut mengutamakan ilmu dan pengalaman dalam menghadapi pilihan raya.
Pengarah Jentera PRK Cameron Highlands DAP Kelantan, Azaha Abd Rani berkata, pihaknya membentuk satu jawatankuasa daripada negeri itu sebagai jentera PRK itu.
"Selain membantu menghadapi PRK jentera dari Kelantan itu akan memberi tumpuan untuk menimba ilmu dan pengetahuan mengenai selok-belok pilihan raya.
"Kita akan menghantar sekitar 150 jentera yang ditugaskan untuk membantu kempen di kawasan Sungai Koyan.
"Kawasan ini terdiri daripada majoriti mengundi Melayu dan Orang Asli di mana mereka kebanyakannya adalah peneroka," katanya dalam sidang media di Kota Bharu, malam tadi.
Azaha berkata, pengalaman terlibat dengan PRK itu akan dijadikan sebagai latihan dan persediaan bagi menghadapi pilihan raya akan datang khususnya di Kelantan.
"Kita tidak banyak pengalaman kerana tidak banyak bertanding pada pilihan raya umum di Kelantan.
"Jadi kita anggap PRK Cameron Highlands ini sebagai satu platform latihan kepada jentera bagi persediaan pilihan raya akan datang," jelasnya.
PRK Cameron Highlands diadakan ekoran keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Okt lalu, yang membatalkan kemenangan calon BN Datuk C. Sivarraajh ekoran berlaku unsur rasuah pada PRU14.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menetapkan 12 Jan ini sebagai hari penamaan dan pada Jumaat lalu, Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Naib Pengerusi DAP Pahang M Manogaran sebagai calon mereka pada PRK tersebut.
Sementara itu, ditanya mengenai cara berkempen akan dipraktikkan, Azaha berkata, jentera DAP Kelantan akan mengambil pendekatan memberi penerangan kepada pengundi mengenai dasar kerajaan PH.
"Kita sama sekali tidak akan menggunakan kaedah beli undi melalui pemberian wang tunai yang menyalahi peraturan.
"Kita akan menggunakan inisiatif sendiri dengan ikhlas untuk menyumbang tenaga bagi memenangi calon PH kali ini, " katanya.

