Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cukai tanah akan diganti cukai petak - Khalid Samad
Diterbitkan:  Jan 8, 2019 10:57 PM
Dikemaskini: 2:57 PM

Kementerian Wilayah Persekutuan akan melaksanakan sistem Cukai Petak bagi menggantikan sistem Cukai Tanah mulai 1 Januari 2020.

Menterinya Khalid Abd Samad berkata cukai tersebut merupakan cukai dikenakan ke atas hak milik strata dan ia sudah dilaksanakan di Selangor serta bakal diguna pakai di Pulau Pinang dan Melaka.

"Sistem Cukai Petak ini akan memberi banyak manfaat terutamanya bagi bangunan atau kawasan berstrata kerana ia akan memberi sedikit kebebasan kepada pemilik bagi pengurusan pembayaran yang mana sebelum ini bergantung kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Menteri Wilayah Persekutuan di ibu negara, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ketua Setiausaha baharu kementerian itu, Saripudin Kasim.

Mengenai cadangan memendekkan waktu operasi pusat hiburan, Khalid berkata pusat hiburan di ibu kota yang mempunyai lesen operasi sehingga 3 atau 5 pagi, boleh meneruskan operasi masing-masing seperti biasa namun perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

Anggota Parlimen Shah Alam itu berkata daripada keseluruhan 672 pusat hiburan di ibu negara, 24 daripadanya memiliki lesen operasi sehingga 5 pagi, manakala 118 premis di pusat bandar dan 31 premis di luar bandar beroperasi sehingga 3 pagi.

"Sementara itu terdapat 233 premis hiburan beroperasi sehingga 2 pagi, 47 premis hiburan beroperasi sehingga 1 pagi manakala 219 premis tutup pada 12 tengah malam," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS