Seorang guru maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Nansang/Pakan, Sarikei pada kira-kira 2.30 petang semalam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Jalin Bungap, 39, bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga, Engkamop, Pakan, setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata semasa kejadian, kenderaan dipandu mangsa dari arah SK Nanga menuju ke Bintangor.

Beliau berkata ketika melalui selekoh menuruni bukit, mangsa gagal mengawal kenderaan dan terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Semasa kejadian, hujan lebat dan permukaan jalan raya basah serta licin,” katanya.

Kereta mangsa kemudian bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang datang dari arah Simpang Pakan menuju ke Pakan.

Pemandu Toyota Hilux berusia 31 tahun tidak mengalami kecederaan manakala isterinya berusia 26 tahun yang hamil lima bulan cedera di dagu. Kandungan wanita itu dilaporkan selamat, katanya.

Alexson berkata anak lelaki pasangan berkenaan yang berusia lima tahun juga tidak mengalami kecederaan.

Dalam pada itu, beliau berkata sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu wanita berusia 27 tahun dari arah Pakan menuju ke Sarikei, terbabas ke dalam parit ketika cuba mengelak kereta dipandu guru berkenaan.

Mayat mangsa yang tersepit dalam keretanya dikeluarkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarikei sebelum dibawa ke Hospital Sarikei.


-- Bernama