Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Noh macam nak kata Melayu Cameron rasis - T Mohan

Naib Presiden MIC Datuk T Mohan menolak kenyataan anggota Majlis Tertinggi Umno Noh Omar yang berkata peluang BN di Cameron Highlands lebih besar jika gabungan itu meletakkan calon Umno.

"Apa yang cuba disampaikan oleh Noh Omar adalah tidak realiti dan rubbish (mengarut).

"Kita tahulah kepincangan strategi beliau di Selangor sehingga BN kalah teruk pada PRU yang lalu. Janganlah, tamak sangat," tegas Mohan.

Noh Omar

Noh semalam dilaporkan berkata dalam situasi sekarang calon Umno lebih dekat dengan rakyat berdasarkan kelebihan pengundi Melayu di parlimen itu.

Beliau mencadangkan BN melanggar tradisi dengan memberikan kerusi itu kepada Umno demi mencapai kemenangan.

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini, Mohan mempertikaikan kenyataan Noh berkaitan undi Melayu.

"MIC bertanding dan menang di Cameron Highlands sejak tahun 2004. Bagaimana pula tiba-tiba MIC boleh hilang pengundi Melayu?

"Saya percaya masa sudah tiba kepada BN untuk menjarakkan diri daripada politik perkauman," katanya lagi.

C Sivarraajh

Pada PRU14 lalu, Naib Presiden MIC, C Sivarraajh menang kerusi itu dalam pertarungan lima penjuru, mengatasi calon DAP M Manogaran dengan lebihan tipis kira-kira 600 undi.

Pada November 2018, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan tersebut kerana amalan rasuah dan memutuskan parlimen itu perlu mengadakan pilihan raya semula.

Cameron Highlands memiliki seramai 32,048 pengundi berdaftar, 34 peratus Melayu, 30 peratus Cina, 22 peratus lain-lain dan sebanyak 15 peratus India.

Sementara itu, Mohan meluahkan perasaan sedih kerana partinya memilih tidak bertanding di Cameron Highlands.

Lihat Komen
ADS