Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bila agamawan menulis tentang kedaulatan undang-undang

KATA MP l Ada agamawan yang menulis agak panjang mengenai kedaulatan undang-undang (rule of law) dengan tajuk Rule of Law: Di mana Allah?"

Saya ambil masa baca jugalah membaca keseluruhan artikel tersebut bagi nak tahu ke arah mana diskusi agamawan tersebut berkenaan rule of law hendak dibawa.

Jujurnya, saya tidak melihat satu diskusi ilmiah tentang rule of law hatta dari perspektif Islam, jika kita mengukur dari segi tajuknyalah.

Bagaimanapun, saya boleh bayangkan betapa kagumnya para pengikut yang fanatik tentang tulisan itu. Budaya kagum boleh meranapkan roh intelektualisme.

Selain dari diterjemah rule of law sebagai kedaulatan undang-undang yang secara harfiah boleh diterima terjemahan literal itu, namun rule of law hakikatnya lebih luas skopnya dari sekadar terjemahan harfiyah itu.

Rule of law, bagi saya, satu konsep yang tidak sama sekali asing kepada Islam kerana antara lain rule of law mengangkat prinsip akauntabiliti dan kerajaan yang tidak bertindak secara arbitrari, prinsip kerajaan terbuka, prinsip undang-undang yang adil dan saksama dan lain-lain yang mana semua itu amat dekat dengan Islam.

Saya tidak cadang nak bahas panjang isu itu di sini kerana tulisan ini tidak diniatkan begitu. Cuma saya agak musykil dengan kata-kata di dalam artikel agamawan itu yang antara lain mengungkap prinsip ini "lebih baik berkepemimpinan Muslim yang zalim atau brengsek daripada berkepemimpinan bukan Islam (non Muslim) yang baik. Bottom line beliau "siapa yang ke neraka akhirnya."

Di dalam seerah nabawiyyah, kita membaca kisah penghijrahan para sahabat Nabi Muhammad SAW ke Abyssinia ( Ethopia ). Saya dok rasa jika tiada rule of law di Ethopia di bawah pemerintahan Al-Najashi atau Negus ( yang dikatakan beragama Kristian /kerajaan Kristian Aksum) tidak mungkin Nabi mengarahkan para sahabat bersuaka politik di negara tersebut.

Dalam dunia kontemporari kita menyaksikan ramai tokoh agamawan yang diseksa atau diancam nyawanya dan tidak dihormati kebebasan (hurriyyah) dan kehormatan insan (karamatul insan) mereka di negara yang berkepimpinan muslim dan ramai agamawan yang dianiyai itu lari berlindung di negara berkepimpinan non-Muslim di barat yang ironinya lebih tahu menghormati dan melindungi kebebasan dan kehormatan insan.

Adakah kita nak simpulkan bahawa negara muslim yang mengganasi para agamawan itu dianggap menjujung rule of law kerana nama Allah boleh dilihat di merata tempat di negara itu? Dan negara barat yang melindungi para agamawan itu pula dikira tidak menjunjung rule of law kerana mereka bukan dipimpin oleh Muslim?

Mungkin juga kot kerana apa yang dinyatakan di artikel tersebut yang menyebabkan suatu masa dahulu, di negara ini yang berperdana menteri Melayu/ Muslim, berAG Melayu/Muslim , tiada seorang pun the real culprit 1MDB didakwa di negara ini? Tapi di negara yang ada Hollywood, culprit 1MDB tak senang duduk!

Opps maaf, campurtangan asing!


MOHAMED HANIPA MAIDIN adalah timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau juga adalah anggota parlimen Sepang yang kini mewakili parti Amanah selepas sekian lama bersama PAS.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS