PMNK diberi mandat kawal tapak kolam Puteri Saadong
Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK) telah diberi mandat oleh kerajaan negeri bagi mengawal sebuah kawasan yang didakwa merupakan tapak awal pusat pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Kampung Serendah Sekebun Bunga, Ketereh di Kota Bharu Kelantan.
Pegawai Monumen dan Tapak Bersejarah PMNK Nurunnuha Ghazali berkata berikutan itu, pihaknya kini giat mewartakan kawasan tersebut bagi mengelak sebarang pencerobohan oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab terhadap kawasan terbabit.
"Secara lisan sehingga kini, kolam tersebut dikenali sebagai Kolam Puteri Saadong oleh rata-rata penduduk di kawasan tersebut.
"Namun secara hakikatnya kolam tersebut sebenarnya wujud akibat berlaku penimbunan pasir menyebabkan terbentuknya kolam tersebut,” katanya.
Nurunnuha berkata PMNK kini sedang menyiapkan kerja ukur bagi menentukan keluasan sebenar tapak kawasan terbabit.
“Selepas selesai kerja ukur, kita akan menjalankan kerja-kerja memelihara dan memulihara tempat tersebut dan proses itu mengambil masa sesuai dengan peringkat-peringkat kerja yang bakal dilakukan selepas ini.
“Sehingga kini, tapak berkenaan dijaga oleh seorang penduduk tempatan, Mohd Sidek Mat Husain, 50, bagi mengelak dicerobohi oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan aktiviti berbentuk khurafat di tempat tersebut,” katanya.
Isnin lepas, akhbar melaporkan sebuah kolam yang didakwa sebagai tempat mandi-manda Puteri Saadong di Kampung Serendah Sekebun Bunga di Ketereh di sini, didakwa terbiar dan tidak dipedulikan pihak berwajib biarpun mempunyai unsur sejarah yang unik.
Selain kolam, kawasan berkenaan yang seluas 700 meter persegi turut didakwa sebagai tapak istana lama ketika pemerintahan Cik Siti Wan Kembang dan mempunyai sebuah taman yang indah.
-- Bernama

