PAS akan membuat keputusan sama ada akan turun berkempen atau tidak sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands selepas proses penamaan calon 12 Januari nanti.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan akan melihat dahulu perkembangan PRK itu termasuk calon yang mewakili parti pembangkang.

"Setakat ini kita belum buat keputusan, kita tunggu selepas penamaan calon.

"Sebelum ini kita nyatakan sokongan kepada calon pembangkang. Kita pun belum tahu siapa calon.

"Jadi kita tunggu dan tengok dulu macam mana," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, PAS membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam PRK Cameron Highland pada 26 Januari ini, sebaliknya akan memberi sokongan kepada calon pembangkang lain pilihan mereka.


Berita berkaitan: PAS, Orang Asli penentu di Cameron Highlands


Cameron Highlands merupakan kerusi tradisional MIC yang dimenangi sejak 2004. 

Pada PRU ke-14 Naib Presiden MIC C Sivarraajh memenangi kerusi itu dalam pertembungan lima penjuru dengan beza 587 undi berbanding pencabar terdekatnya M Manogaran dari Pakatan Harapan (PH).

Calon PAS Wan Mahadir Wan Mahmud yang turut bertanding pula mendapat 3,587 undi.

Selain undi Orang Asil yang merupakan 20 peratus daripada keseluruhan pengundi parlimen itu, undi penyokong PAS juga dilihat bakal menjadi faktor yang mempengaruhi keputusan PRK.

PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan BN di Cameron Highlands pada PRU ke-14 terbatal susulan berlaku amalan pembelian undi.

Sementara itu, Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata, pihaknya juga tiada perbincangan mengenai kempen bagi PRK itu setakat ini.

"Kita belum berbincang apa-apa, tengok selepas penamaan calon. Kita akan bermesyuarat pada pertengahan bulan ini," katanya.