N Sembilan akan tubuh j/kuasa kaji kenaikan tarif air
Kerajaan Negeri Sembilan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji kesan terhadap penduduk negeri itu berikutan cadangan kerajaan persekutuan untuk menaikkan kadar tarif air di negara.
Menteri Besar Aminuddin Harun berkata jawatankuasa itu akan menimbangkan cadangan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berhubung kenaikan kadar tarif air itu.
“Walaupun kenaikan kadar tarif air ini nampak kecil tetapi kita ingin melihat tentang kesan yang akan ditanggung oleh rakyat di Negeri Sembilan. Dalam masa yang sama kita juga hendak memastikan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) dapat terus berjalan dalam operasi terbaik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kadar tarif air dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.
Semalam, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berkata kenaikan tarif sumber asli tersebut perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri itu dari sudut perkhidmatan.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata kerajaan negeri telah membuat perancangan bagi mengadakan aktiviti pelancongan sepanjang tahun 2019, selain menyusun beberapa strategi untuk menarik lebih ramai pelancong ke Negeri Sembilan.
"Kita juga mendapat sokongan baik daripada semua agensi pelancongan swasta dan saya rasa 'respons' yang positif ini akan terus meningkatkan prestasi kedatangan pelancong di negeri ini.
"Saya juga mengucapkan tahniah kepada dua inap desa di Negeri Sembilan iaitu inap desa Kampung Pachitan, Port Dickson dan inap desa Kampung Rawa, Lenggeng yang telah terpilih sebagai inap desa terbaik di peringkat Asia bagi tahun 2018.
"Kedua-dua inap desa ini akan menerima hadiah mereka di Vietnam tidak lama lagi. Ini satu pengiktirafan inap desa di Negeri Sembilan untuk terus berjaya, bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah di peringkat antarabangsa. Ini juga secara tidak langsung akan mempromosikan pelancongan inap desa di negeri ini," katanya.
- Bernama

