Tarif air di Sabah dan Johor dipercayai tidak akan dinaikkan kerana kadar sedia ada dianggap sudah tinggi.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah berkata pendirian kerajaan ketika ini ialah, kadar semasa - yang kali terakhir dinaikkan pada 2015 - tidak terlalu rendah berbanding negeri lain.

"Justeru tak ada keperluan untuk menaikkan kadar air buat masa ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar berkata tarif air mungkin dinaikkan secara berperingkat tahun ini, selaras dengan usaha kerajaan menstruktur semula perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Kata Jayakumar peningkatan itu perlu dibuat bagi menjaga kepentingan pengguna mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri tersebut dari sudut perkhidmatan.

Bagaimanapun kata anggota parlimen Kuala Langat itu, kenaikan berkenaan tidak akan membebankan rakyat.

Mengulas lanjut Puah berkata peningkatan tarif air di Johor mungkin akan menjejaskan maltamat kerajaan pusat menyeragamkan tarif air di seluruh negara.

Keputusan kerajaan negeri

Sementara itu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Stephen Wong juga menyatakan kerajaan negeri tidak akan menaikkan tarif sedia ada.

"Kami tak pernah membincangkan isu ini kerana berpendapat tarif sekarang agak tinggi.

"Sabah ialah negeri yang kedua tertinggi mengenakan tarif air selepas Johor," katanya ketika dihubungi.

Stepen Wong

Malah kata Wong kerajaan Sabah sedang mencari jalan menurunkan kadar bayaran air di negeri itu untuk kegunaan industri kecil dan sederhana, selain pengguna biasa.

"Bagaimanapun, langkah ini bergantung kepada belanjawan tahunan," katanya.

Sementara itu Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata tarif air di negeri itu akan dinaikkan selaras dengan pelan Putrajaya.

Katanya langkah itu "tidak dapat dielakkan" namun tarif ditetapkan kerajaan negeri akan kekal "paling rendah" dalam negara walaupun selepas ia dikaji semula.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu pula berkata kerajaan belum membuat keputusan mengenai tarif air di negeri tersebut.

Namun katanya jika berlaku kenaikkan kadar tarif air di Perak, kerajaan negeri akan memastikan ia tidak membebankan golongan yang memerlukan.

"Keputusan untuk menaikkan taraf air ini nanti akhirnya akan kita buat melalui keputusan kerajaan negeri dan kita akan pertimbangkan perkara ini sebelum ia dilaksanakan.

"Kita mencari keseimbangan yang baik (kadar tarif air), kita nak keseimbangan supaya industri kita masih dapat menarik pelabur untuk datang, pengguna domestik tak terbeban dengan kenaikan, sekolah, masjid perlu dikategorikan dengan betul," katanya.

[Baca berita penuh]