Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hina Agong: Siasat di bawah Kanun Keseksaan, bukan Akta Hasutan - LFL
Diterbitkan:  Jan 10, 2019 10:45 AM
Dikemaskini: 3:15 AM

Peguam Lawyers For Liberty (LFL) mengkritik tindakan polis menggunakan Akta Hasutan 1948 terhadap individu yang didakwa menghina bekas Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif LFL Latheefa Koya berkata penahanan itu mengingatkan tentang"sikap tidak bertoleransi kerajaan Barisan Nasional" terhadap kebebasan bersuara, lebih-lebih lagi penggunaan akta itu ditentang oleh pakatan Pakatan Harapan (PH) sebelum membentuk kerajaan.

"Terutamanya kerana komen yang didakwa 'menghina' di media sosial yang mana pihak berkuasa kelihatan cepat bertindak terhadap gerakan media sosial yang menuntut tindakan diambil terhadap posting (hantaran) tertentu.

"Pihak berkuasa mesti lebih arif apabila memberikan reaksi terhadap mesej-mesej tular di media sosial terutamanya jika yang dikatakan posting ‘menghina’ telah diperbesar-besarkan. Berbuat demikian serupa seperti mob rule (pemerintahan sekelompok individu).

"[...] Oleh itu adalah mengejutkan dalam Malaysia Baharu, undang-undang ini masih digunakan oleh pihak polis untuk menghapuskan komen di media sosial yang pada asasnya tidak bersifat jenayah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LFL berkata peranan polis adalah untuk mengekalkan ketenteraman awam dan mencegah jenayah dan bukan mengadili sebarang "ucapan atau posting yang boleh diterima dalam media sosial."

Tambahnya, sesuatu komen yang mengancam atau yang mencetuskan keganasan atau tindakan jenayah sepatutnya disiasat di bawah Kanun Keseksaan.

"Oleh itu, kami meminta pihak berkuasa untuk menghentikan penangkapan dan siasatan yang tidak perlu berkenaan dengan komen di media sosial.

"Pihak berkuasa harus mengutamakan sumber mereka untuk menangani perkara jenayah yang tulen, dan tidak terlibat dalam isu-isu bermotif politik yang tidak seharusnya menjadi perhatian mereka," katanya.

Semalam, peguam Syahredzan Johan dan Ketua Pemuda DAP Subang Farhan Haziq Mohamed, juga mengkritik penggunaan Akta Hasutan dalam kes baru baru ini.

Akta Hasutan ialah satu daripada beberapa undang-undang yang dikaji semula oleh kerajaan termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA).

Pemansuhan undang-undang ini ialah salah satu daripada janji pilihan raya oleh PH sebelum gabungan itu memenangi pilihan raya umum ke-14 pada Mei lepas.

Bagaimanapun, kerajaan menarik balik moratorium (penggantungan sementara) ke atas Akta Hasutan 1948 susulan rusuhan kuil di Seafield, USJ November tahun lepas yang menyebabkan seorang anggota bomba terkorban.

Kekalkan moratorium

Sementara itu, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menyeru kerajaan mengekalkan moratorium yang ditarik balik ke atas Akta Hasutan 1948.

CIJ berkata komen menghina bukan satu ancaman kepada keselamatan negara, ketenteraman awam dan hubungan kaum serta tidak sepatutnya disiasat di bawah Akta Hasutan.

"CIJ mengingati apabila kerajaan mengusulkan moratorium ke atas Akta Hasutan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (foto) menyatakan bahawa penggunaannya akan membabitkan isu keselamatan negara, ketenteraman awam dan hubungan kaum.

"[...] penangkapan baru-baru ini tidak termasuk dalam kategori-kategori di atas seperti yang disebut oleh menteri itu.

"CIJ oleh itu , menyeru kerajaan mengekalkan moratorium Akta Hasutan yang ditarik balik dan memansuhkan Akta Hasutan tanpa bertangguh bagi mengelakkan mana-mana penyalahgunaan undang-undang zaman penjajah pada masa akan datang," kata CIJ dalam satu kenyataan pagi ini.


Lihat Komen
ADS