Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AG gesa pengamal undang-undang promosikan keadilan

Peguam Negara Tommy Thomas menggesa semua pihak yang terlibat dalam pentadbiran keadilan memulakan 'perjalanan baru' bagi mempromosikan keadilan di negara ini.

Dalam ucapan pertamanya sebagai pendakwa dan penasihat undang-undang kerajaan, Thomas berkata ini adalah tugas utama mereka yang berkumpul pada acara pembukaan tahun perundangan yang baru hari ini.

"Kita mesti secara terbuka dan berikrar antara satu sama lain dan kepada negara, hasrat, dedikasi dan komitmen kita untuk memisahkan diri kita dengan tindakan dan tinggalan dekad-dekad yang lalu yang telah membawa kehinaan kepada sistem perundangan kita, dan memulakan perjalanan baru bagi menggalakkan keadilan dan menolak ketidakadilan.

"Dalam erti kata lain, undang-undang mesti dibebaskan daripada belenggu ketidakadilan dan dibenarkan mekar berkembang seperti hasrat ketika mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan 1963 (Sabah dan Sarawak)," katanya.

Thomas berkata, pentadbiran keadilan tidak kebal daripada rasuah dalam persekitaran yang diwujudkan oleh kerajaan yang lalu.

Beliau berkata banyak skandal melibatkan hakim, peguam dan pendakwaraya sejak tiga dekad lalu sejak berlakunya krisis kehakiman 1988.

"Apa yang mesti jelas adalah daripada sekarang kerajaan baru tidak akan bertolak ansur dengan sebarang gangguan atau halangan pentadbiran keadilan," katanya.

Peguam Negara menegaskan acara pembukaan tahun perundangan yang baru ini memberi peluang kepada mereka di barisan pentadbiran keadilan untuk bertanya bagaimana mereka boleh menyumbang kepada sistem keadilan pada tahun-tahun mendatang.

Beliau berkata, rakyat Malaysia juga meletakkan harapan terhadap pentadbiran keadilan selepas pilihan raya pada Mei tahun lalu.

"Tidak ada keraguan bahawa salah satu faktor utama yang membawa kepada kekalahan pentadbiran Najib Razak adalah persepsi orang biasa di jalan raya bahawa perdana menteri itu dan rakan-rakan rapatnya berada di atas undang-undang, 'inter alia' yang disebabkan oleh skandal 1MDB, "katanya.

"Double standard yang digunakan oleh penguatkuasa undang-undang menjejaskan keyakinan orang ramai di institusi perundangan kita," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS