Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ganja perubatan: Undang-undang boleh dipinda, kata pensyarah

WAWANCARA | Tidak salah untuk meminda mana-mana undang-undang jika ia sudah tidak bersesuaian atau tidak berkesan lagi, kata pensyarah undang-undang Azmi Sharom.

Beliau berkata ia termasuklah berkenaan marijuana yang kini berada bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Mana-mana undang-undang pun boleh ditukar, dipinda.

"Jadi tentang penggunaan marijuana sebagai perubatan, ia telah diterima pakai di merata tempat. Di banyak negara penggunaan marijuana itu pun tak lagi jadi kesalahan," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Beliau memberi contoh penggunaan dadah yang dibuat secara sah dengan kebenaran doktor perubatan.

“Misalnya, ubat yang ada morfin atau kodein itu berasaskan ekstrak candu dari bunga pokok popi. Boleh digunakan tapi secara betullah untuk mengurangkan kesakitan.

“Tetapi kalau kodein di jual di tepi jalan itu salah dari segi undang-undang. Jadi kenapa kita tidak boleh menggunakan marijuana untuk tujuan-tujuan (perubatan) sebegini?” soal pensyarah Universiti Malaya itu.

Awal tahun ini, kes Kapten (B) Amiruddin @ Nadarajan Abdullah atau “Dr Ganja” yang dibicarakan di Mahkamah Majistret Klang menarik perhatian ramai apabila kira-kira 20 orang yang berkata pernah dirawatnya turut hadir untuk memberikan sokongan.

Amiruddin dihadapkan 14 pertuduhan memiliki ganja, dengan berat keseluruhan 97.995kg, dirumahnya di Klang, pada 26 Mei 2017.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman mati mandatori.

Seorang lagi individu yang turut berdepan keadaan sama adalah Muhammad Lukman Mohamad yang ditahan kerana memiliki 3.1 liter minyak ganja, 279 gram ganja mampat dan 1.4kg bahan mengandungi tetrahydrocan nabinol (THC).

Lukman turut dikatakan menggunakan bahan itu untuk tujuan perubatan. Pada 30 Ogos lalu, Lukman dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Selepas 40 tahun

Menurut Azmi walaupun undang-undang berkaitan dadah Malaysia yang keras dan tegas telah dilaksanakan hampir 40 tahun, ia masih tidak dapat menangani masalah itu dengan berkesan.

“Kenapa undang-undang dadah kita begitu tegas dan keras? Antara tujuannya adalah untuk membuatkan orang tidak mahu melakukan perkara tersebut, satu pencegahan untuk tidak menggalakkan orang daripada melakukan sesuatu jenayah.

“Tetapi kita lihat ia masih berterusan… Jadi kita kena fikirlah akan tujuan undang-undang ini dan kita tidak boleh ego dan kata ‘kita dah buat undang-undang ini dan kita akan teruskan undang-undang ini’.

“Kalau sesuatu undang-undang itu tidak ada kesan, kita kena buang sahajalah,” katanya lagi.

Pada Semptember lalu, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Lee Lam Thye membangkitkan masalah dadah yang baginya tidak berkesudahan walaupun ratusan juta ringgit telah dihabiskan.

Ketika itu beliau merujuk kenyataan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa penagih dadah masih merupakan majoriti banduan di Malaysia.

Beliau justeru mencadangkan penubuhan jawatankuasa yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi mengkaji semula pendekatan berhubung perkara itu secara holistik.

Mutakhir ini, Naib Presiden Amanah Husam Musa merupakan ahli politik yang 'berani' membangkitkan isu ganja sebagai perubatan dengan berkata Malaysia akan menjadi negara yang terkehadapan jika memperkenalkan tanaman ganja untuk tujuan itu.

Beliau juga berkata sedia untuk membentangkan maklumat dan teknologi marijuana kesihatan kepada pihak yang berminat untuk membuat kajian.

Mustahil sebab imej

Namun seperti pandangan Presiden Persatuan pengasih Malaysia (PENGASIH) Mohd Yunus Pathi, Azmi merasakan penggunaan ganja dalam perubatan mustahil dilaksanakan di negara ini.

“Kalau kita ingat lagi dadah ini sejak tahun 1980-an lagi tidak dipanggil dadah, tetapi najis dadah.

“Jadi ia suatu perkara yang dianggap sangat teruk. Imej yang ada di dalam kepala otak orang Malaysia, dadah ini semacam jenis syaitan," katanya lagi.

Antara negara terdekat yang sudah melaksanakan perkara itu adalah Thailand - apabila meluluskan penggunaan ganja dan ketum untuk tujuan perubatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye sebelum ini mengingatkan di Malaysia ganja tidak diiktiraf sebagai ubat untuk apa-apa rawatan, dan "tidak ada bukti sebagai ubat untuk kanser atau penyakit lain."

Namun beberapa bulan kemudian beliau mengeluarkan kenyataan yang lebih lunak dengan berkata syarikat perubatan yang mahu menggunakannya dalam perubata perlu membuktikan dengan kajian sendiri - bukan merujuk kajian luar - bahawa ia selamat dan berkesan.

Lihat Komen
ADS