Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan tak letak calon di Cameron Highlands
Diterbitkan:  Jan 11, 2019 2:57 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

PRK CAMERON | Bekas anggota komponen BN, Gerakan, tidak akan meletakkan calonnya di Cameron Highlands, kata setiausaha agung parti itu Mak Kah Keong.

Kata Mak keputusan itu diambil kepimpinan tertinggi Gerakan selepas mereka mengadakan beberapa perbincangan dan perundingan bersama anggota akar umbi, terutama di Pahang dan Cameron Highlands.

"Ada pandangan rencam daripada anggota parti di pelbagai peringkat dan kepemimpinan melihatnya sebagai perkembangan positif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerusi bagi parlimen melibatkan kawasan tanah tinggi dan pelancongan itu kosong pada 30 Nov lalu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan kemenangan calon BN, C Sivarraajh, kerana berlaku amalan rasuah.

Sivarraajh yang juga naib presiden MIC menang tipis di kerusi Cameron Highlands selepas dicabar empat calon lain.

Dia memperoleh 10,307 undi untuk mengatasi pencabar terdekat, M Manogaran (PH) yang mendapat 9,710 undi. Tiga calon lain ialah Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi), Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (680 undi).

Terdapat lebih 32,000 pengundi berdaftar di Cameron Highlands dengan 34 peratus daripadanya ialah Melayu manakala Cina 30 peratus.

Bersuara macam biasa

Pengundi India pula membentuk 15 peratus dan baki 22 peratus lagi bangsa lain.

Beberapa hari lalu wujud spekulasi mengenai kemungkinan Gerakan - yang meninggalkan BN selepas PH menawan Putrajaya pada 9 Mei 2018 - akan meletakkan calon dalam PRK kali ini.

Kata Mak, Gerakan diterima baik oleh rakyat di kawasan terbabit namun selepas pertimbangan teliti diambil, kepemimpinan parti bersetuju untuk mengutamakan usaha mengukuhkan pertubuhan berkenaan berbanding menyertai PRK.

"Kerusi parlimen Cameron Highlands bukanlan kawasan tradisi buat Gerakan namun kami mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan memiliki hubungan rapat dengan rakyat di situ, khususnya di Tanah Rata.

"Justeru demi kepentingan parti Gerakan tidak akan meletakkan calon dalam PRK kali ini sebaliknya memberi fokus kepada usaha yang lebih penting iaitu menyatu dan mengukuhkan parti," katanya.

Mengenai PRK yang akan diadakan pada 26 Jan ini Mak berkata Gerakan akan menilai setiap calon yang bertanding sebelum menentukan sokongan yang akan diberi.

Katanya ada kira-kira 1,300 orang anggota Gerakan di kawasan berkenaan ketika ini.

"Walaupun tidak bertanding kami akan terus bersuara untuk mewakili rakyat sebelum, semasa malah selepas PRK nanti," katanya.

Lihat Komen
ADS