Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sering disindir Najib, Maszlee ucap terima kasih

“Terima Kasih,” jawapan ringkas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik kepada bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak, yang sering membuat kenyataan provokatif atau troll terhadapnya.

Maszlee turut berharap Najib, yang kini aktif membuat kenyataan di media sosial seperti Facebook dan Twitter, bersama-sama membantu Kementerian Pendidikan berkempen di media sosial dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Membaca menjelang 2030.

Mengulas troll terbaru Najib di Facebooknya semalam berkenaan lawatan kerja pertamanya ke Indonesia, Maszlee berkata beliau akan melakukan yang terbaik dalam menerajui kementerian yang pernah diterajui pemimpin itu.

"Saya masih baru bertatih dalam politik... Saya tidak akan khianati negara dan rakyat," katanya.

Sebelum ini, Maszlee berkata kementerian itu menjadikan tempoh masa 10 tahun iaitu dari tahun 2021 sehingga 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan, ke arah Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang 2030.

Najib dilihat sering melakukan provokasi terhadap menteri-menteri kabinet Pakatan Harapan, termasuk kenyataan Maszlee sebelum ini, antaranya isu kasut hitam dan terbaru semalam yang menyindir kononnya Maszlee bersiar-siar ke Indonesia.

Maszlee yang dalam lawatan kerja padat ke Indonesia sejak semalam, turut bertemu rakan sejawatannya Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Muhadjir Effendy hari ini, yang antaranya telah sepakat meningkatkan lagi kerjasama memantapkan institusi pengajian tinggi kedua-dua negara.

Antaranya merancang melaksanakan konsep penubuhan universiti atau kampus satelit serta pembinaan cawangan universiti awam Malaysia di Indonesia, negara yang mempunyai penduduk lebih 260 juta orang itu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS