Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ugut Tok Batin: Pemuda Umno Pahang buat laporan polis
Diterbitkan:  Jan 12, 2019 9:32 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

Pemuda Umno Pahang membuat satu laporan polis berhubung tindakan Anggota Dewan Negara, Senator Bob Manolan Mohamad yang didakwa mengugut pemimpin masyarakat Orang Asli atau Tok Batin.

Ketuanya, Mohd Farid Mohd Nor menegaskan kenyataan Bob Manolan untuk memberhentikan penyaluran gaji dan melucutkan jawatan Tok Batin sekiranya tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands disifatkan sebagai tindakan terdesak gabungan berkenaan.

Jelas beliau, pengundi Parlimen Cameron Highlands bebas memilih siapa yang mereka fikirkan layak untuk menjadi pemimpin kawasan tersebut.

“Pihak kami dimaklumkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan berdasarkan kesalahan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana mengancam dan menjejaskan pelaksanaan sistem demokrasi berparlimen.

“Pemuda Umno Pahang nyata kecewa dengan tindakan terdesak ahli Parlimen daripada parti pemerintah yang tergamak melakukan ugutan kepada pemimpin masyarakat setempat. Sekiranya perkara ini tidak dibendung, ianya akan menjadi gejala penyalahgunaan kuasa yang ketara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Monalan didakwa memberi amaran kepada Tok Batin di kawasan Cameron Highlands bahawa mereka boleh kehilangan jawatan dan gaji jika tidak menyokong kerajaan persekutuan hari ini.

Beberapa tok batin yang berang kemudiannya membidas kenyataan Bob Manolan yang dianggap sebagai cubaan memperlekehkan masyarat Orang Asli.

Sementara itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata tidak ada paksaan dalam demokrasi dan mahu Bob Manolan segera menjelaskan kenyataannya.

Ketua Wanita PKR Haniza Talha pula meragui kebenaran kenyataan itu dan meminta butiran kenyataan yang dibuat Bob disiasat terlebih dahulu.

Kata Haniza, jika benar-benar Bob Manolan mengeluarkan kenyataan sedemikian maka ia tindakan yang tidak boleh diterima dalam konteks Malaysia Baru.

Susulan kenyataan Bob Manolan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun menggesa saksi untuk tampil membuat aduan kepada badan berkenaan.

Azhar juga menasihati mereka untuk mengemukakan aduan rasmi kepada SPR bagi membolehkan siasatan dibuat.

Bob Manolan pula dalam satu kenyataan mendakwa ucapannya telah disalahtafsirkan.

Lihat Komen
ADS