Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kejutan Kayveas: 'Saya penyokong Dr M dan Anwar'
Diterbitkan:  Jan 12, 2019 12:44 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

M Kayveas dari MyPPP hari ini membuat kejutan apabila mengisytiharkan dirinya sebagai penyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Kayveas mengumumkan perkara itu ketika menyatakan sokongannya kepada Pakatan Harapan (PH) di pilihan raya kecik (PRK) Cameron Highlands.

"Biar saya katakan dengan jelas bahawa tiada ruang untuk salah faham. Saya penyokong Mahathir dan Anwar.

"Kekuatan dan kebijaksanaan perdana menteri yang akan membawa kita mengatasi kerosakan yang disebabkan rejim lama.

"Dan kekuatan serta visi bakal perdana menteri (Anwar) yang akan membawa kita ke masa hadapan yang cerah," katanya dalam satu kenyataan.

Kayveas sebelum ini mengumumkan akan bertanding dalam PRK Cameron Highlands.

Bagaimanapun, pada hari penamaan calon hari ini di Tanah Rata, beliau tidak memasuki pusat penamaan calon.

Sebaliknya, beliau terus menuju ke kawasan BN dan memeluk Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Tindakannya menimbulkan spekulasi dia akan menyokong BN. Untuk rekod, MyPPP yang diterajuinya merupakan sebahagian daripada gabungan BN sebelum ini.

Namun, tidak lama selepas memeluk Mohamad, Kayveas membuat kejutan dengan mengumumkan sokongannya kepada PH.

Beliau juga mengedarkan risalah kenyataannya yang menyatakan sokongan kepada gabungan parti pemerintah itu.

"Saya akan dengan giat menyokong calon PH secara terbuka.

"Mereka boleh harapkan kami untuk berdiri bersama mereka dan membawa semua sokongan kami ke peti undi," katanya.

Kayveas dilahirkan di Cameron Highlands dan sudah cuba melobi kerusi berkenaan untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Bagaimanapun, BN tidak mencalonkan beliau di kerusi tradisi MIC itu.

Pada PRK kali ini, MIC memberi laluan kepada calon BN iaitu bekas pegawai polis Ramli Mohd Nor yang juga merupakan anak Orang Asli.

Masyarakat Orang Asli mewakili kira-kira 20 peratus pengundi di Cameron Highlands.

Ramli akan berdepan calon PH, M Mangaran, selain dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengarahkan kerusi yang dimenangi MIC pada PRU itu dikosongkan susulan berlaku pembelian undi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS