Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sarawak Michael Manyin Jawong menasihati para guru dan ibu bapa supaya memberi penekanan terhadap kualiti pendidikan anak-anak dan tidak hanya menumpukan kepada sijil kelayakan semata-mata.

Beliau berkata sektor swasta dan syarikat multinasional tidak begitu berminat pada sijil kelayakan berikutan pendidikan yang sangat kompetitif hari ini.

“Sila pastikan yang kanak-kanak tidak seharusnya hanya memberi tumpuan untuk mendapatkan markah yang baik, tetapi pada masa sama kita juga perlu mengetahui kekuatan dan minat mereka untuk masa hadapan kanak-kanak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program penglibatan masyarakat dan ibu bapa di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor di Kuching, hari ini.

Mengulas mengenai program itu, beliau berkata perkongsian strategik antara ibu bapa, sekolah dan komuniti harus diwujudkan untuk mengenal pasti keperluan pelajar, agar akses kepada sokongan emosi dan mental serta sumber lain yang tidak terdapat di sekolah boleh disediakan.

“Dengan mewujudkan hubungan bermakna antara ibu bapa dan guru, ia akan melibatkan penglibatan sebenar ibu bapa. Kedua-dua ibu bapa dan guru juga harus berkongsi matlamat bersama yang memfokuskan untuk memaksimumkan pembelajaran dan kesejahteraan pelajar,” katanya.


-- Bernama