Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan terperangkap dengan tipu muslihat Kayveas'
Diterbitkan:  Jan 12, 2019 6:44 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

PRK CAMERON HIGHLANDS | Maglin D'Cruz yang dalam pertikaian dengan M Kayveas berhubung jawatan presiden MyPPP memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) agar tidak "terperangkap" dengan Kayveas.

"Nasihat saya kepada ahli-ahli (MyPPP) dan kepada PH, agar jangan terperangkap dengan politik tipu muslihat beliau yang hanya pentingkan diri sendiri," kata Maglin dalam kenyataan hari ini.

Kayveas, yang turut mendakwa dirinya sebagai presiden MyPPP yang sah, pada penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands hari ini membuat kejutan apabila mengumumkan tidak bertanding dan sebaliknya menyokong PH.

Kayveas juga mengisytiharkan dirinya sebagai penyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Maglin menafikan keupayaan Kayveas untuk menarik sokongan di Cameron Highlands.

"Dakwaan beliau sebelum ini mengatakan yang beliau ada seramai 3,000 ahli yang akan mengundi beliau juga tidak benar sama sekali.

"Jumlah tersebut agak jauh dari jumlah bancian asal yang kita semak sewaktu pilihan raya umum (PRU) yang lepas.

"Beliau cuba mempengaruhi segelintir ahli ahli dan masyarakat yang masih samar dengan kemelut dalaman MyPPP," katanya.

Maglin bagaimanapun tidak menyatakan jumlah anggota parti MyPPP dalam parlimen Cameron Highlands.

Kemelut dalaman MyPPP bermula sejak April lalu. Kayveas mendakwa beliau sebelum ini berundur sebagai presiden parti, sementara kebanyakan pemimpin partinya mendakwa dia dipecat.

Lima hari selepas "berundur", Kayveas menarik semula peletakan jawatannya dan kembali menuntut jawatan presiden parti.

Sejak itu, Kayveas dan Maglin masing-masing mendakwa diri mereka sebagai presiden MyPPP.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Setiausaha Agung BN Nazri Abdul Aziz mendakwa keputusan Kayveas menarik diri daripada bertanding adalah disebabkan status sebagai presiden MyPPP yang belum diputuskan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Saya fikir dia tidak dibenarkan bertanding hari ini di bawah MyPPP kerana ia masih lagi dalam pertikaian dan ROS belum membuat keputusan," katanya kepada Malaysiakini.

Nazri juga "tidak terkejut" dengan keputusan Kayveas untuk menyokong PH dan menyifatkan ia adalah satu-satunya pilihan yang ada buat Kayveas kerana MyPPP telah bertindak meninggalkan BN sebelum ini.

Lihat Komen
ADS