Paling Popular
Terkini

Jika sebelum ini Najib Razak tidak mempunyai masalah untuk menempah mana-mana dewan untuk membuat perjumpaan dengan penyokongnya, kini keadaan jauh berbeza.

Malah, sesi ramah mesranya bersama kira-kira 150 penyokong hari ini terpaksa dilakukan di aras bawah tanah bangunan Residensi Kerinchi KL Gateway di Bangsar South, Kuala Lumpur.

“Nasib bila kita dah kalah, kita kena jumpa dalam basement.

“Dulu kita boleh berkumpul dalam dewan, sebut sahaja mana-mana dewan, tapi hari ini apakan daya nasib kita.

“Nasib baik dapat basement, (kalau tidak) mungkin kena duduk jumpa tepi jalan kot,” katanya dalam nada berseloroh.

Namun, kata Najib, semangat beliau serta penyokongnya tidak pernah sesekali patah, malah membayangkan keyakinan untuk menawan kembali pemerintahan daripada Pakatan Harapan (PH).

“Namun semangat kita tak patah!

“Insya-Allah kita akan kembali (dapat) ‘gunakan dewan’ suatu hari nanti!” katanya disambut sorakan para penyokongnya.

Rasmikan projek Kerinchi

Para penyokong Najib mula mengambil tempat duduk di aras bawah tanah itu seawal jam tiga petang walaupun bekas perdana menteri dan presiden Umno itu hanya tiba menjelang jam 5.30 petang.

Sementara menunggu kemunculan Najib orang ramai mendengar ucapan daripada beberapa penyokong Umno serta pertubuhan bukan kerajaan.

Najib tiba kira-kira jam 5.210 petang dan menyampaikan ucapannya selama kira-kira sejam.

Majlis tersebut merupakan salah satu program bagi menyorot legasi Najib, seperti program seumpamanya di River of Life, Kuala Lumpur, 6 Jan lalu.

Dalam perkongsiannya itu Najib turut menyentuh tentang keadaan ekonomi negara dan kegagalan PH dalam menunaikan janji dalam manifesto mereka.

Untuk rekod projek Residensi Kerinchi itu dirasmikan oleh Najib sendiri pada akhir Feb 2017.

Ketika itu Najib masih bergelar perdana menteri, menteri kewangan dan presiden Umno.

Lihat Komen
ADS