Sayap Bersatu Melaka kecam ketua Bersatu negeri pecat penyelaras Dun
Sayap Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Melaka mengecam tindakan Ketua Bersatu negeri Redzuan Yusof kerana memecat Ruslin Hasan sebagai penyelaras Dun Ayer Limau.
Ketua Srikandi Bersatu Melaka, Azlina Abdul Rahman dan Ketua Armada Bersatu Melaka Ramlan Meon berkata pemecatan itu dilakukan tanpa asas, tidak mengikut prosedur dan tidak memberi peluang kepada Ruslin membela diri.
'Malah tindakan yang dilakukan oleh Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka mirip kepada pendekatan yang digunakan oleh kepimpinan Najib Razak, Umno dan Barisan Nasional terhadap YB Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir satu ketika dahulu yang telahpun melemahkan dan menghancurkan Umno dan Barisan Nasional pada PRU14.
"Kami tidak menyokong, mengecam serta membantah keputusan pendekatan dan gaya kepimpinan ketua badan pimpinan Bersatu negeri Melaka YB Redzuan Yusof yang dilihat merugikan parti Bersatu Melaka yang dicintai ini," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Menurut Azlina dan Ramlan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka di bawah Pimpinan Adly Zahari telahpun membuat keputusan melantik kesemua bekas calon PRU14 yang tewas sebagai Penyelaras Dun masing-masing.
Selain berjaya mengurangkan majoriti Dun Ayer Limau pada PRU lalu, mereka juga berpendapat Ruslin telah menjalankan tugas dengan baik dan penuh dedikasi.
"Selain daripada komitmen yang tinggi yang beliau berikan, beliau juga banyak mengorbankan kewangan beliau sendiri untuk menampung aktiviti-aktiviti yang dijalankan di peringkat Dun Ayer Limau dan Bersatu bahagian Masjid Tanah," jelasnya.
Mereka berkata pemecatan tersebut akan membawa perpecahan kepada Bersatu dalam persediaan parti itu menghadapi PRU15 dalam beberapa tahun lalu.
Sehubungan itu mereka meminta Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan kepimpinan tertinggi parti itu untuk campur tangan.
Redzuan, ketika dihubungi mempertahankan keputusannya.
"Rombakan adalah perkara biasa," katanya kepada Malaysiakini.
Ditanya mengenai dakwaan penyingkiran Ruslin tidak mengikut prosedur, beliau menjawab: "Adalah biasa untuk merombak untuk penambahbaikan".

