Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kekayaan negara mesti diagih secara adil pada semua kaum

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan kepentingan agar kekayaak negara diagihkan secara adil kepada semua kaum di negara ini.

Katanya jurang terlalu besar di antara kaya dan miskin dalam sesebuah negara biasanya akan berakhir dengan kekacauan atau rusuhan.

Justeru kata Mahathir kerajaan perlu memberi penekanan kepadausaha menangani masalah kemiskinan dalam kalangan semua kaum di negara ini.

"Kita kena ingat dan menjadi tugas kita untuk menentukan negara mengagihkan kekayaan secara sama rata. Jika tak sepenuhnya, tapi sekurang-kurangnya hingga satu tahap yang boleh diterima semua masyarakat negara kita," katanya.

Perdana menteri berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena perhimpunan bulanan kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Menurut beliau hak sama rata tidak sepatutnya terhad kepada amalan mengundi atau memilih kerajaan semata-mata.

Sebaliknya kata Mahathir kesamarataan juga perlu diamalkan dalam menyediakan kehidupan rakyat yangn selesa, makmur dan tenang.

"Kita tak nak lihat negara kita nampak begitu kaya tetapi kekayaan tidak diagihkan secara adil kepada semua kaum.

"Inilah yang perlu kita pelajari daripada sejarah kita harap setiap orang sama ada pegawai kerajaan, ahli politik, pemimpin kerajaan faham sejarah kita supaya tak mengulangi kesalahan kita yang lama.

"Sebaliknya kita pastikan negara kita ini aman dan semua kaum dapat hidup bersama-sama tanpa rusuhan dan mendapat agihan kekayaan negara secara adil dan saksama," katanya.

Kata Mahathir ada sesetengah orang sudah melupakan sejarah Malaysia yang pernah menyaksikan pelbagai kaum bersama-sama membina negara.

Katanya orang ramai perlu sedar sesiapa yang melupakan sejarah akhirnya akan dihukum dengan mengulangi kesalahan lampau berkali-kali.

Pada masa sama perdana menteri mengingatkan Malaysia sebuah negara yang bertuah kerana memperoleh kemerdekaan secara aman, tidak seperti sesetengah negara Afrika yang terpaksa berperang.

Di sesetengah negara kata Mahathir ada kaum tertentu menganggap diri mereka sebagai penduduk asal dan tidak berasa senang dengan kaum lain yang dianggap pendatang.

Akhirnya kata beliau kaum tertentu dalam negara terbabit dihalau keluar.

"Ini berlaku berlaku negara lain tetapi tidak di Malaysia, bahkan kerajaan bersetuju memberi hak kerakyatan kepada kaum-kaum lain.

"Usaha juga dibuat dalam kalangan parti politik bagi memastikan negara kita ditadbir dengan penyertaan semua kaum dan ia bermula pada waktu kita mencapai kemerdekaan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS