Paling Popular
Terkini

Pemuda MIC menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan pencalonan calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran susulan dakwaan 'membeli' undi di pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

Menurut Ketua Biro Politik Pemuda MIC Arvind Krishnan, SPR tidak boleh boleh berdiam dengan kempen PH itu.

"Kami nak SPR segera membatalkan pencalonan Manogaran yang disabitkan cuba 'membeli' undi Orang Asal.

“Kalau SPR membuat keputusan untuk mengadakan PRK di Cameron atas kesalahan sama yang dilemparkan terhadap BN, kini, bagaimana pula dengan calon PH yang terbukti memberi sogokan kepada pengundi," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis kedua terhadap Manogaran di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, petang ini, Arvind turut menolak penjelasan Manogaran.

"Garis panduan SPR jelas menunjukkan, bawah Perenggan 8, sebarang pemberian duit kepada pengundi bagi kegunaan makanan, pengangkutan dan sebagainya adalah salah," katanya.

Arvind turut memetik kenyataan SPRM pada tahun 2017, yang mengesahkan menawarkan elaun perjalanan kepada pengundi adalah satu bentuk rasuah.

"Lagipun, kenyataan pemimpin-pemimpin PH dalam isu ini sangat bercanggah. Perdana Menteri Dr Mahathir (Mohamad) kata ia adalah duit kerajaan.

“(Lim) Kit Siang pula kata ia adalah pembayaran balik pengangkutan kepada sukarelawan. Manogaran pada awalnya kata tak bagi duit, manakala anaknya mengaku memberinya.

“Jadi, siapa yang bercakap benar?" tanya beliau.

Terdahulu beberapa keping gambar memaparkan seorang wanita memakai baju PH didakwa mengedarkan wang kepada masyarakat setempat menjelang pengundian pada 26 Januari ini.

Ia segera menarik perhatian pembangkang dan menjadi bahan mereka menyerang PH, walaupun dijelaskan oleh pemimpin PH sebagai pembayaran balik pengangkutan sukarelawan kempen PH.

Sementara itu, Arvind turut mengesahkan Pemuda MIC telah membuat lebih 100 laporan polis terhadap calon PH berkaitan perkara ini.

"Saya sendiri membuat dua laporan polis setakat ini. Semalam di Cameron Highlands dan hari ini di Dang Wangi. Masih ramai pemuda MIC membuat laporan polis di seluruh negara," katanya.

"Kami juga akan membawa isu ini kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia)dalam masa terdekat," jelas beliau lagi.

Lihat Komen
ADS