Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cahaya bangunan tak lagi papar lambang salib, kata ketua menteri

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata bangunan Grace Residence di Jelutong yang menjadi kontroversi di media sosial sudah tidak lagi memaparkan cahaya berbentuk salib.

"Saya terima gambar bangunan itu semalam, dan berdasarkan gambar itu, tak ada lagi cahaya berbentuk salib dan hanya cahaya tempat parkir kereta yang hidup," kata Chow pada sidang media di Komtar, Pulau Pinang hari ini.

Terdahulu, gambar bangunan berkenaan tular di media sosial kerana pencahayaan dari bangunan itu memaparkan lambang salib.

Pihak yang berang dengan perkara itu sudah membuat laporan polis.

Susulan itu, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor menggesak pihak berkuasa tempatan menyelesaikan isu berkenaan.

Pemaju bangunan, Nova Mulia Development Sdn Bhd sebelum ini menjelaskan, imej yang tular itu kebetulan memaparkan lambang salib kerana gambar diambil ketika bangunan itu masih belum siap sepenuhnya.

Jelas jurucakap pemaju, bangunan itu sepatutnya menunjukkan abjad Cina (王) bermaksud wang (raja) atau ong (nasib baik).

Menurut jurucakap itu, dua garisan cahaya, di bahagian bawah dan atas masih belum kelihatan ketika dirakam dalam gambar tular.

Pembinaan bangunan itu sudah mencapai tahap 90 peratus.

Bagaimanapun, Chow menjelaskan pihaknya masih menunggu laporan daripada Setiausaha Negeri Farizan Darus berhubung isu itu.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi Farizan namun beliau tidak dapat dihubungi ketika ini.

Menurut Chow, pemaju sebelum ini hanya mencuba sistem pencahayaan bangunan berkenaan.

Chow sebelum ini juga mengesahkan bahawa bangunan berkenaan bukan gereja atau tempat ibadat.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS