PRK CAMERON HIGHLANDS | Selepas meluangkan masa bermain bola sepak bersama kaum Orang Asli di Kampung Leryar, Cameron Highlands, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendapati keadaan kemudahan sukan di perkampungan masyarakat berkenaan mengecewakan.

Menceritakan pengalamannya bersama kaum Orang Asli sempena berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran hari ini, Ketua Pemuda PH itu berkata masyarakat Orang Asli menginginkan pembangunan yang menyeluruh.

"Apabila saya lawat dua kampung Orang Asli, lihat tapak sukan di sana yang masih terkebelakang, saya fikirkan semula, apa yang telah kita lakukan untuk membantu mereka secukupnya, khususnya dari segi infra sukan.

"Apabila kita melawat banyak bandar-bandar yang sedia ada, banyak betul infra sukan yang ada. Tetapi apabila kita pergi ke perkampungan Orang Asli, ada 400 hingga 500 orang tapi padang bola sepak pun tak ada.

"Ini sangat mengecewakan," katanya ketika ceramah kelompok Felda Sungai Koyan 3, di Jelai malam tadi.

Sementara itu, Syed Saddiq turut menyentuh isu peneroka Felda yang terjejas dengan harga kelapa sawit yang merudum.

Jelasnya, kerajaan memberi sepenuh komitmen bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi peneroka Felda itu.

Syed Saddiq menyorot usaha Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menentang keputusan Parlimen Kesatuan Eropah (EU) yang melarang penggunaan minyak sawit melalui surat yang ditulis kepada Presiden Perancis dan Perdana Menteri Norway.

"Potensi Felda sangat besar tapi perlu komitmen daripada kerajaan. Setiap minggu kita bicarakan soal Felda. Sebagai contoh macam mana nak tangani isu harga kelapa sawit," katanya.