Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hibah tetap dibayar, tapi TH ingatkan ‘kita baru baik dari demam’

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memberi jamin kumpulan itu mampu memberi hibah atau dividen pada 2018 kepada pendepositnya secara sah.

Namun Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Zukri Samat mengingatkan, para pendeposit supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi.

“Jumlah hibah itu akan bergantung kepada prestasi kewangan TH.

“Jangan letak harapan yang tinggi, sebab kita baru baik dari demam,” katanya pada sidang media di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur, hari ini.

Zukri berkata, kumpulan TH hari ini semakin pulih setelah selesai memindahkan semua ekuiti yang tidak berprestasi baik kepada syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd setakat 30 Disember 2018.

Pada 11 Disember lalu, beliau mengumumkan TH akan memindahkan aset yang tidak menguntungkan bernilai kira-kira RM19.9 bilion kepada SPV bagi memperbaiki kedudukan kewangannya.

Aset yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti, manakala SPV itu akan dimiliki oleh Kementerian Kewangan (MOF).

SPV itu kemudiannya akan menerbitkan RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) berjumlah RM9.90 bilion.

Isu berkaitan TH tercetus apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa mendedahkan pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 hingga 2017 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.


Lihat Komen
ADS