Paling Popular
Terkini

Meskipun Lembaga Tabung Haji (TH) terpalit dengan pelbagai kontoversi sebelum ini, badan pengurusan agensi itu tetap menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Zukri Samat, berkata ia berdasarkan peningkatan nilai dan jumlah deposit terbaru dicatatkan.

Menurut Zukri, sehingga Dis 2018 agensi berkenaan menunjukkan peningkatan deposit hampir RM1 bilion walaupun ketika itu berdepan isu defisit berjumlah RM4.1 bilion pada tahun kewangan 2017.

"Ya, memang ada pendeposit yang mengeluarkan RM10 juta dari akaunnya baru-baru ini, tetapi pada masa sama ada juga pihak yang menyimpan.

"Ini dapat dilihat dengan berlakunya peningkatan simpanan hampir RM1 bilion pada tahun lalu," katanya.

Menurut Zukri pada 2017 jumlah deposit di TH ialah RM73.56 bilion dan meningkat kepada RM74.5 bilion pada 2018.

Sepanjang tempoh itu juga, kata Zukri, sejumlah 31,580 akaun baru dibuka pendeposit.

Kos haji tahun ini sama

Katanya lagi TH tidak melihat berlaku pengeluaran besar-besaran dalam kalangan pendeposit selepas kerajaan membuat pendedahan mengenai apa yang berlaku pada badan berkenaan baru-baru ini.

Zukri berkata demikian semasa menyampaikan taklimat kepada media mengenai prestasi semasa TH di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas mengenai desas-desus terdapat pendeposit mengeluarkan simpanan RM10 juta dari akaunnya di TH baru-baru ini.

Menurut Zukri TH tidak mahu meletakkan jangkaan tinggi terhadap sikap pendeposit kerana mungkin berlaku pengeluaran sekiranya hibah yang diumumkan nanti tidak menepati sasaran mereka.

"Namun, melihat kepada situasi yang melanda TH pada masa ini, saya beharap pendeposit boleh terus meyakini kami dan seperti saya nyatakan, dengan pelan pemulihan yang sedang dibuat, TH akan mencatat prestasi lebih baik pada tahun ini," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Zukri turut mengesahkan kadar untuk menunaikan haji bagi tahun ini kekal seperti tahun lepas, iaitu RM9,980 seorang.

Lihat Komen
ADS