Kerajaan hari ini menafikan spekulasi yang menular di media sosial bahawa 31 Januari ini akan diumumkan sebagai cuti umum.

Mesej yang tular itu mendakwa ia selaras dengan tarikh melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Malaysia Government Call Center (MyGCC) menjelaskan bahawa pada 31 Januari nanti, Majlis Raja-Raja Melayu akan mengadakan mesyuarat khas.

Walau bagaimanapun, menurut MyGCC tarikh itu bukan hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang baru.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja akan bersidang pada 24 Januari untuk memilih siapa yang akan menjadi Yang di-Pertuan Agong yang baru.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dijangka akan dinobatkan sebagai Seri Paduka seterusnya.

Jawatan Yang di-Pertuan Agong kosong selepas Sultan Muhammad V meletakkan jawatan pada 6 Januari lalu.