Suhaimi: Pinda Auku untuk bolehkan belia pimpin GPMS
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Datuk Suhaimi Ibrahim menyokong saranan supaya pelajar memimpin badan itu tetapi kerajaan perlu memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) terlebih dahulu.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Datuk Suhaimi Ibrahim menyokong saranan supaya pelajar memimpin badan itu tetapi kerajaan perlu memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) terlebih dahulu.
Katanya, buat masa ini pelajar tidak boleh menerajui kepimpinan GPMS kerana melanggar Auku.
Ini bermakna, katanya kerajaan perlu memansuhkan atau meminda akta itu terlebih dahulu untuk memberi ruang kepada pelajar memimpin GPMS.
"Saya menyokong saranan supaya pelajar mempimpin pertubuhan yang ada kaitan dengan mereka seperti GPMS tetapi Auku perlu dimansuhkan terlebih dahulu," katanya.
Suhaimi berkata, beliau bersikap terbuka dalam soal kepimpinan GPMS kerana menurutnya apa yang lebih penting ialah mempertahankan hak-hak orang Melayu di negara ini.
Beliau kecewa kerana sejak akhir-akhir ini pelbagai pihak mula mencari salah pucuk pimpinan GPMS seolah-olah tidak ada sebarang jasa kepada bangsa Melayu.
Lebih teruk sekarang GPMS menjadi medan perebutan kuasa sehingga menjejaskan agenda utama penubuhannya iaitu membantu pelajar Melayu ke peringkat lebih tinggi.
Suhaimi menyatakan demikian bagi mengulas saranan beberapa pihak supaya GPMS diterajui oleh pemimpin pelajar ekoran perebutan kuasa antara beliau dengan kumpulan Reezal Merican Naina Merican.
Beberapa orang bekas pmimpin GPMS telah menyarankan orang politik berundur dari GPMS bagi menyelesaikan kemelut kepimpinan pertubuhan itu.

