Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pembantu timbalan menteri yang beritahu Teo nak ke Cameron'

Seorang pemimpin pusat MIC yang mendakwa “timbalan menteri sibuk di Cameron Highlands” menegaskan tidak akan menarik balik kenyataan tersebut, walaupun diseru berbuat demikian.

M Veeran, ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC sebaliknya meminta Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching supaya lebih matang ketika menjalankan tugas pada masa akan datang.

"Tidak perlu saya menarik balik kenyataan tersebut kerana ia tidak fitnah. Saya hanya katakan apa yang diberitahu kepada saya oleh salah seorang pembantu timbalan menteri tersebut," katanya.

Menurutnya, ketika beliau cuba menghubungi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mendapatkan penjelasan mengenai pengambilan pelajar India ke kolej matrikulasi, salah seorang pegawai memberitahu beliau supaya menghubungi seorang pembantu timbalan menteri.

"Ketika, saya menghubungi pembantu tersebut yang berbangsa India pada awal minggu lalu, saya diberitahu bahawa sebarang maklumat mengenai pengambilan ke kolej matrikulasi tidak dapat diberikan secepat mungkin.

"Saya juga diberitahu bahawa beliau bersama timbalan menteri akan ke Cameron Highlands pada Sabtu minggu lalu. Jadi, anggap beliau (Teo) sibuk di Cameron Highlands," katanya kepada Malaysiakini.

"Jadi, di mana saya fitnah? Lagi pun, saya hanya kata menteri sibuk di Cameron Highlands. Bukannya, saya tuduh beliau sebagai tidak jalankan tugas dan sibuk kempen di Cameron Highlands. Saya minta timbalan menteri supaya lebih matang pada masa akan datang."

"Janganlah, tanya sikit-sikit, cakap sudah fitnah. Kamu ini timbalan menteri pendidikan. Bukannya, ahli pembangkang yang suka tuduh kerajaan BN macam-macam," tambah Veeran lagi.

Semalam, Teo menafikan dakwaan Veeran yang menuduh beliau "sangat sibuk di Cameron Highlands" dan sebaliknya menjelaskan bahawa beliau berada di kawasan parlimennya sepanjang minggu lalu.

Teo dalam kenyataan medianya menyifatkan tuduhan Veeran sebagai tidak berasas dan fitnah.

Terima kasih KPM

Veeran bagaimanapun berterima kasih kepada KPM kerana membalas pertanyaan beliau.

Terdahulu beliau menggesa KPM menjelaskan status pengambilan khas 2,200 pelajar India ke kolej matrikulasi yang diamalkan ketika pentadbiran BN.

Veeran berkata, kaum India ketika ini keliru berhubung isu berkenaan memandangkan tiada maklumat terbaru.

"Saya gembira akhirnya KPM menjelaskannya. Tetapi, saya sekali lagi mencabar Teo Nie Ching untuk menyenaraikan nama pelajar yang ditawar ke kolej matrikulasi.

"Ini bukan sesuatu pelik. Kerana ketika BN menjadi kerajaan, ada pemimpin PH mendesak KPM berbuat demikian. Jadi, saya percaya tidak ada masalah kepada KPM untuk sekali lagi menyenaraikan senarai nama pelajar yang mendapat ke kolej matrikulasi," katanya.

Beliau juga cadangkan KPM agar senarai nama tersebut boleh diterbitkan dalam mana-mana akhbar Tamil, untuk membuktikan bahawa KPM telus dan tidak menyembunyikan sesuatu.

"Apa bukti KPM memberikan 2,200 tempat kepada pelajar India? Jalan yang mudah untuk buktikan cuma senaraikan nama pelajar dalam akhbar," jelas beliau lagi.

Beliau menambah sekiranya KPM berbuat demikian, maka ia akan meninggikan lagi reputasi Teo Nie Ching sebagai timbalan menteri Pendidikan yang sangat prihatin dengan pelajar berbangsa India.

Terdahulu, dalam kenyataan berasingan semalam, KPM menjelaskan bahawa Menteri Pendidikan Maszlee Malik sudah memberi arahan berhubung pengambilan berkenaan.

Menurut kementerian, KPM telah melaksanakan sistem pengambilan pelajar India ke kolej matrikulasi bermula 2012 dengan jumlah pengambilan 1,500 orang pelajar.

Lihat Komen
ADS