Mahkamah mahu ketua hakim jawab saman anak perempuan Karpal
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini meminta Ketua Hakim Negara Richard Malanjum supaya memfailkan afidavit sebagai menjawab saman peguam Sangeet Kaur Deo yang mendakwa beliau gagal bertindak berhubung dua aduan yang membabitkan badan kehakiman.
Hakim Mohd Firuz Jaffril membuat perintah itu kepada peguam persekutuan kanan Mazlifah Ayob yang mewakili ketua hakim.
Hakim itu mahu afidavit jawapan difailkan pada atau sebelum 11 Februari yang juga ditetapkan sebagai tarikh untuk pengurusan kes.
Hakim Firuz juga memutuskan bahawa saman Sangeet akan dibicarakan di mahkamahnya yang akan bertindak sebagai mahkamah sivil dan bukan sebagai Mahkamah Kuasa Rayuan Khas yang lazimnya membicarakan kes-kes semakan kehakiman.
Sangeet hari ini mewakili dirinya sendiri dengan prosiding dilakukan di mahkamah terbuka.
Awal minggu ini, peguam itu, yang juga adalah anak perempuan mendiang Karpal Singh, memfailkan saman berkenaan ke atas ketua hakim di mana beliau memohon beberapa perintah.
Antaranya, ketua hakim itu gagal untuk melindungi dan mempertahankan integriti badan kehakiman berhubung kes hasutan ayahnya.






