Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan masih tunggu rancangan rumah mampu milik Forest City

Pemaju Forest City masih belum mengemukakan rancangan untuk membina rumah mampu milik di kawasan dibangunkan mereka, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau justeru menzahirkan kebimbangan berkaitan perkara itu.

Zuraida berkata demikian ketika menegaskan warganegara asing tidak dilarang daripada membeli hartanah Forest City di Gelang Patah, Johor.

“Tidak, tidak ada larangan untuk warga asing. Mereka dilayan macam pembeli asing yang biasa.

“Kita hanya bimbang dengan komponen rumah mampu milik di sana. Kita masih menunggu pemaju bentangkan pada kita.

“Apa perancangan mereka untuk penuhi kuota rumah mampu milik dalam pembangunan Forest City,” katanya.

Zuraida berkata demikian di Wisma Bernama di Kuala Lumpur selepas melancarkan sebuah rancangan bual bicara agensi berita nasional.

Pada September tahun lalu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata warga asing boleh memberi unit rumah di Forest City tetapi mereka tidak akan diberikan visa untuk tinggal di sana.

Pada bulan berikutnya, pemaju Country Garden Pacificview Sdn Bhd memberitahu kerajaan Johor bahawa mereka bersetuju menyemak semula rancangan pembangunan hartanah itu dengan memasukkan rumah mampu milik.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan negeri mahu projek itu dibuat di empat pulau buatan dalam kawasan Forest City.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS